BELAGA: Mangsa terakhir bot karam di Jeram Long Menjawah berjaya ditemukan pada pagi Rabu.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah, mangsa Rhuban Apparoo, 30, ditemui tidak bernyawa oleh orang awam pada jam 8.22 pagi, berhampiran Rumah Kejaman Neh Long, kira-kira 18 kilometer ke hilir dari bot yang dinaikinya karam.



Pada Selasa, mayat rakan beliau, Balavishnu Permaloo, 36, ditemui timbul kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.



Pada Isnin, mereka menaiki bot panjang bersama-sama tiga yang lain sedang bersiar-siar di sekitar jeram tersebut sebelum karam dipercayai kerana arus deras.

Pemandu bot yang berasal dari Rumah Apan Long Menjawah itu kemudian berjaya menyelamatkan dua yang lain, manakala dua yang hilang dihanyut arus.

Kedua-dua mangsa merupakan lelaki berbangsa India berasal dari Sungai Karangan, Padang Serai, Kedah.

Mereka dan dua yang lain merupakan pekerja kontraktor yang menyelenggara projek Hidroelektrik Bakun.