KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan peningkatan pagi ini manakala Perlis menjadi negeri terbaharu membuka PPS apabila terdapat mangsa banjir yang dilaporkan malam tadi.

Di KEDAH, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,194 orang setakat 8 pagi ini berbanding 675 orang pada 5 petang semalam.

Beliau berkata mangsa terdiri daripada 388 keluarga dari enam daerah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Pokok Sena, Kuala Muda dan Kota Setar yang dipindahkan ke 11 PPS.

"Daerah Pokok Sena paling terjejas dengan 1,000 mangsa daripada 173 keluarga yang dipindahkan ke dua PPS yang mula dibuka semalam manakala di Pendang sebanyak 678 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di sebuah PPS yang turut dibuka semalam.

"Di Kubang Pasu pula sebanyak 301 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di tiga PPS yang dibuka Isnin lepas manakala 108 mangsa daripada 34 keluarga di Kulim ditempatkan di tiga PPS yang dibuka semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Kuala Muda, sejumlah 54 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan sebanyak 53 mangsa daripada 16 keluarga di Kota Setar pula ditempatkan di satu PPS yang dibuka semalam.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lapan sungai di Kedah melebihi paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas; Sungai Bata di Kampung Bata; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Selain itu, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan.

"Empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Sedim di Kampung Sedim dan Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling; Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap, Padang Terap; dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar, manakala Sungai Ketil di Kampung Baru, Baling dan Sungai Janing di Kampung Labi, Padang Terap berada pada paras waspada.

Di PULAU PINANG, mangsa banjir meningkat kepada 635 orang pagi ini yang ditempatkan di 11 PPS berbanding 236 orang di tujuh PPS semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang berkata kesemua mereka daripada 173 keluarga itu ditempatkan di PPS daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan(SPS).

"Setakat pagi ini daerah SPU mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 401 orang daripada 103 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata di SPT sebanyak lima PPS di buka menempatkan 168 mangsa daripada 46 keluarga iaitu Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, SMK Permatang Rawa, SK Seri Penanti dan Dewan Orang Ramai Bukit Teh.

Jurucakap itu berkata di SPS pula membabitkan 66 mangsa daripada 24 keluarga yang ditempatkan di Dewan MPKK Sanglang dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap, selain menambah setakat 8 pagi ini beberapa kawasan di negeri ini masih mengalami hujan berserta angin kencang.

Di PERLIS, Pengarah APM Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata hujan dalam tempoh yang lama bermula kira-kira 6 petang semalam menyebabkan dua PPS dibuka malam tadi bagi menempatkan 41 mangsa banjir daripada 13 keluarga.

Beliau berkata 33 orang daripada sembilan keluarga kini berada di PPS SK Arau yang dibuka pada 11.55 malam manakala PPS SK Sena dibuka pada 10.50 malam bagi menempatkan lapan mangsa daripada empat keluarga.

Berdasarkan Public Infobanjir, Sungai Gial di Arau mencatatkan paras air 9.16 meter (m) iaitu melebihi tahap amaran manakala Sungai Arau merekodkan paras air 21.57m melebihi tahap waspada setakat 8 pagi ini.

-- BERNAMA