KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri terus berkurangan kepada 9,690 orang di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini berbanding 10,000 orang di 37 PPS malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 9,387 orang yang ditempatkan di 27 PPS di empat daerah, namun menurun berbanding 9,667 orang malam tadi.

Menurut laporan itu, PPS berkenaan merangkumi 12 di Pasir Mas yang menempatkan 6,347 orang, 10 di Tumpat (2,545 orang), tiga di Kuala Krai (67 orang) dan dua di Jeli (428 orang).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir turut berkurangan kepada 118 orang yang berlindung di tiga PPS setakat ini berbanding 148 orang di lima PPS di daerah Dungun dan Kuala Terengganu pada sebelah malam.

Jumlah mangsa banjir di Johor pagi ini tidak berubah dengan 54 orang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir juga kekal 131 orang di lima PPS merangkumi daerah Bera, Maran dan Temerloh, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands masih berada di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok di Pasir Mas, Sungai Golok di Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Kota Bharu berada pada paras bahaya setakat 6 pagi ini, tetapi dalam keadaan trend menurun.

Turut berdepan paras bahaya ialah Sungai Buloh, Kuala Selangor di Selangor, Sungai Perak di Hulu Perak dan Sungai Arau di Perlis, dengan masing-masing dalam keadaan trend meningkat.

Laporan itu juga menyebut terdapat 40 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh.

Antara yang terlibat ialah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor; Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjong (Kelantan); Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor.

-- BERNAMA