Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata aplikasi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu yang telah dinaik taraf membolehkan urusan pendaftaran mangsa banjir di PPS dilakukan menerusi aplikasi itu.
Beliau berkata penambahbaikan aplikasi tersebut kepada versi 3.0 yang dilancarkan pada Ogos lepas, telah terbukti keberkesanannya semasa pengurusan mangsa banjir di Raub dan Lipis baru-baru ini, apabila dapat mengelakkan situasi kesesakan serta beratur panjang di PPS bagi proses pendaftaran.
"Sebelum ini, mangsa banjir yang diselamatkan perlu datang ke PPS dahulu, terpaksa beratur panjang menunggu giliran mendaftar dan sekiranya penuh, pihak JKM kena cari mana lagi PPS yang kosong. Tetapi, aplikasi ini sangat membantu.
"Mereka hanya perlu memuat naik aplikasi ini di telefon pintar dan kemudiannya mengimbas kod QR untuk proses pendaftaran. Dari situ, mangsa banjir boleh merancang dan melihat mana lagi PPS yang masih lagi ada kekosongan. Ini akan mengelakkan kesesakan di PPS sekali gus memudahkan mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Negeri Pahang JKM di sini semalam. Turut hadir Pengarah JKM Pahang Khairul Amri Ahmad.
Noraini berkata JKM sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang bencana susulan Monsun Timur Laut dan untuk kali ini, terdapat sebanyak 8,417 PPS berdaftar di seluruh negara.
Berhubung bantuan makanan dan barangan asas, beliau berkata JKM telah membuat agihan tersebut di kesemua pangkalan hadapan di seluruh negara bagi memastikan penduduk berisiko kawasan banjir tidak terputus bekalan keperluan.
"Di seluruh negara, kita ada 563 pangkalan hadapan dan semua barang-barang sudah kita sedia di sana. Selain itu, sebanyak 6,073 kaunselor yang terdiri daripada kakitangan JKM serta dibantu sukarelawan yang berdaftar dengan JKM turut disediakan bagi memastikan kebajikan dan emosi mangsa banjir terjaga.
"Ketika berlakunya banjir, emosi mangsa yang terkesan dengan bencana itu tidak stabil dengan ada yang murung sebab impak bencana ini melibatkan pelbagai termasuklah kos kerosakan. Jadi, peranan kaunselor ini amat penting ketika bencana," katanya.
-- BERNAMA