KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Pahang dan Perak mencatatkan penurunan manakala di Selangor, Kedah dan Perlis meningkat dengan jumlah keseluruhan yang ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 1,480 orang pagi ini berbanding 2,570 petang semalam.

Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan setakat 9 pagi ini jumlah mangsa banjir di PAHANG berkurang daripada 363 orang semalam kepada 187 orang dan kesemuanya ditempatkan di satu PPS di Temerloh.

Di PERAK, seramai 553 mangsa banjir masih ditempatkan di lapan PPS berbanding 1,506 mangsa petang semalam melibatkan daerah Kerian, Hilir Perak dan Perak Tengah.

Sementara itu jumlah mangsa banjir di KEDAH meningkat kepada 109 mangsa di satu PPS berbanding 80 orang petang semalam.

Jumlah mangsa banjir di SELANGOR juga bertambah sedikit daripada 152 semalam kepada 160 orang yang berlindung di tiga PPS pagi ini manakala di PERLIS 471 mangsa di dua PPS berbanding 469 orang semalam.

Sementara itu, laman sesawang rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my/ memaklumkan lapan sungai mencatatkan paras bahaya masing-masing empat di Sarawak, tiga di Selangor dan satu di Melaka.

Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada 8.25 pagi ini pula memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh Pulau Pinang dan Kedah melibatkan kawasan Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu hingga 11 pagi ini.

-- BERNAMA