BANDARAYA GAZA: Pertahanan Awam Palestin di Gaza melaporkan pada Jumaat bahawa operasinya di utara Gaza terpaksa dihentikan selama 24 hari, menyebabkan ribuan penduduk terputus perkhidmatan perubatan atau bantuan kemanusiaan berikutan serangan berterusan Israel, menurut laporan Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Pertahanan Awam berkata pada 24 Okt lepas, pasukan tentera Israel menyasarkan anggota mereka di utara Gaza, merampas kenderaan, memaksa kebanyakan petugas berpindah ke kawasan tengah dan selatan semenanjung itu dan menahan 10 staf.

Agensi itu menyeru organisasi kemanusiaan antarabangsa untuk segera menangani kesengsaraan ribuan orang awam yang terperangkap di utara Gaza akibat serangan Israel yang berterusan.

Pertahanan Awam juga menggesa tindakan segera untuk memulihkan operasi mereka dan mengaktifkan semula kenderaannya di Beit Lahia.

Sejak 5 Okt, tentera Israel melancarkan pencerobohan darat di utara Gaza, dengan alasan bertujuan menghalang kumpulan pejuang Palestin, Hamas daripada kembali membina kekuatan di kawasan itu. Bagaimanapun, pegawai Palestin mendakwa bahawa Israel berniat untuk merampas utara Gaza dan menjadikannya zon penampan dengan memaksa penduduknya berpindah.

Serangan Israel sejak 7 Okt 2023 telah meragut lebih 43,700 nyawa dan menyebabkan Semenanjung Gaza hampir tidak dapat didiami.

Serangan berterusan itu telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu terpaksa berpindah, selain menghadapi sekatan yang menyebabkan kekurangan akut makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.

-- BERNAMA