Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya pada Ahad akhirnya berjaya ditemui petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A. Sahak Rahmat berkata mangsa merupakan pekerja ladang dan keluar memancing bersama empat rakannya semasa kejadian pada lebih kurang pukul 4 petang Ahad.

"Berdasarkan keterangan saksi iaitu rakan mangsa, beliau Husin Haris, 40, telah turun ke sungai untuk mencuci muka. Tiba-tiba rakannya mendengar kocakan air dan terlihat kelibat ekor buaya sementara mangsa (Husin) telah hilang," katanya.

A. Sahak turut memberitahu seramai lapan anggota PDRM, empat anggota bomba dan penyelamat, 70 orang pekerja dan pegawai ladang serta pegawai Perhilitan terlibat dalam operasi SAR tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Syamzari Ganih pula berkata pihaknya telah memulakan operasi sejak Ahad dan Isnin bermula 8 pagi dan mangsa akhirnya ditemui pada jam 3.30 petang kira-kira 80 kaki dari lokasi mangsa dikatakan hilang.

"Hasil pemeriksaan luaran mendapati mangsa memakai seluar pendek hitam, tidak berbaju dan mengalami kecederaan luka dalam bahagian bahu hingga lengan kanan.

"Bahagian dada kanan juga terdapat luka disyaki akibat gigitan buaya. Mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna," kata beliau.

Menurutnya, mayat telah dibawa ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk proses bedah siasat.