BATAM: Sebuah kandang buaya yang menjadi pusat pembiakan di Pulau Bulan, Batam, Kepulauan Riau, Indonesia didapati bolos semalam, sekali gus mencetuskan kegusaran kerana sejumlah reptilia itu kini terlepas ke perairan berdekatan.

Portal berita Kompas melaporkan, kejadian berlaku akibat kesan hujan lebat dan kenaikan paras air dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Berita berhubung kejadian itu mula gempar apabila susulan visual mengenainya disebarkan melalui pelbagai platform media sosial.

Sementara itu, Kompas melaporkan sejumlah lima buaya dewasa yang terlepas, namun sebuah portal media Batam News menyatakan terdapat kemungkinan jumlahnya jauh lebih banyak.

Laporan Kompas tentang ‘lima buaya dewasa terlepas’ itu disahkan Ketua Polis Sektor Bulang, Adyanto Syofyan.

Menurut Adyanto, terdapat kemungkinan buaya-buaya itu terlepas pada hari sebelumnya (Ahad 12 Januari).

“Pihak polis dibantu anggota Tentera Indonesia kini sedang menjalankan pencarian di sekitar perairan Pulau Bulan.

“Ada antara buaya-buaya itu berukuran sepanjang kira-kira 3 meter,” ujarnya, menurut laporan Kompas.

Tambah Adyanto, warga sekitar kawasan itu khususnya komuniti nelayan diminta berwaspada dengan insiden itu kerana ia boleh mencetuskan risiko bahaya, selain meminta mana-mana pihak untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak kelibat reptilia berkenaan.

Pusat pembiakan buaya bagi tujuan eksport itu dikendalikan syarikat Perkasa Jagat Kurnia. Ia dimiliki pengusaha warga Singapura Lim Sie Liong yang juga pemilik Salin Group.

Jarak antara Pulau Bulan di Batam dan Tanjung Pelepas di Johor adalah kira-kira 80 kilometer.