PAPAR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mahu penduduk Kampung Mondikot di sini memanfaatkan sepenuhnya internet berkelajuan tinggi yang disediakan secara percuma bagi meningkatkan ekonomi setempat termasuk mempromosikan kampung itu sebagai lokasi pelancongan menarik.

Beliau berkata persekitaran dan suasana Kampung Mondikot yang indah dan permai, serta kemudahan jalan raya yang baharu siap dibina, mempunyai potensi besar untuk menarik kehadiran pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

"Ini akan membantu ekonomi setempat," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembuktian konsep (POC) Starlink di Kampung Mondikot di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau Datuk Juil Nuatim, dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Bagi memperkenalkan kampung berkenaan kepada masyarakat luar, Fahmi turut mencadangkan agar pihak berkaitan terutama Juil yang mewakili rakyat di kawasan itu, bekerjasama dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Selain itu, beliau berkata peranan pempengaruh media sosial juga boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan lokasi pelancongan di kawasan dengan menyediakan kandungan informasi untuk dimuat naik ke laman sosial.

Mengenai unit setelit Starlink di kampung itu, Fahmi berkata internet ynag dipasang oleh MCMC dan REDtone sejak Jun lepas menawarkan kelajuan sehingga 250 Mbps dengan kawasan liputan sekitar 150 meter dari lokasi pemasangan, dan boleh digunakan sepanjang masa oleh penduduk kampung.

Beliau berkata pelaksanaan POC telah menunjukkan kemajuan dan perubahan ketara berbanding sebelum ini, dan berharap lebih banyak inovasi dapat dicapai serta dimanfaatkan melalui teknologi internet seperti Starlink.

"POC Starlink di Kampung Mondikot adalah yang pertama dipasang dengan tiga titik capaian (acess point) bagi membolehkan lebih ramai mengakses internet.

"Setakat ini, sebanyak 10 unit satelit Starlink telah dipasang di Sabah secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA