KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan bahawa pihaknya sentiasa berusaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama sekali tidak pernah berhenti dalam usahanya menjejaki Jho Low yang terpalit dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

"Mana pernah jerat lupa pelanduk, saya cakap banyak kali.

"Macam dulu, anda tak pernah tanya Jasmine Loo, tapi kita boleh bawa balik... sama macam tu," kata Razarudin.

Mengulas mengenai siasatan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan, kata Razarudin, siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) masih diteruskan ketika ini.

"Siasatan terhadap Jasmine Loo di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kita dah edarkan awal pada Ogos.

"Walau bagaimanapun siasatan di bawah AMLA kita masih teruskan lagi seperti mana semua tahu, bahawa (Timbalan Ketua Polis Negara) Datuk Seri Ayob Khan telah memberi sidang media dua hari lepas berkenaan rampasan yang telah dibuat dan akan dibuat," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam baki bahawa usaha menahan Jho Low masih jauh meskipun sekutu rapatnya Jasmine Loo kini bekerjasama dengan agensi penguat kuasa negara.

Razarudin ditemui media selepas melancarkan penutupan Program 4th National Forensic Science Symposium For Law Enforcement 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, di sini, pada Khamis.