CHERAS : Program Rakan Kolaborasi Taman Angkat dengan kerjasama rakan kolaborasi dan masyarakat dilihat membantu polis dalam mengekang jenayah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sahaja, sebanyak tujuh taman perumahan dijadikan Taman Angkat.

Tujuh lokasi itu kata beliau adalah Perumahan Awam Seri Sabah 3B, Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Taman Midah, Taman Miharja Fasa1, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, PPR Raya Permai dan PPR Pinggiran.

"Program ini akan diteruskan dan serap banyak lagi taman angkat kerana ia banyak memberi kebaikan dalam membantu polis dan masyarakat di mana penduduk di Taman Angkat akan dilatih bagaimana hendak menyalur maklumat dan pencegahan jenayah.

"Banyak lagi taman angkat akan dilibatkan pada masa akan datang kerana ia banyak memberi kebaikan khususnya dalam membantu polis dan masyarakat mengekang kadar jenayah di kawasan setempat selain berjaya mengekalkan keamanan sejagat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, pada Isnin.

Pada majlis itu, seramai 20 petugas media dari pelbagai agensi menerima sijil penghargaan daripada Ravindar Singh.

Mengulas lanjut, Ravindar Singh berkata, pelaksanaan program Taman Angkat itu secara langsung membolehkan polis menerima banyak maklumat berhubung kes jenayah sekali gus berjaya menyumbang kepada kejayaan tangkapan suspek secara efektif.

Ujar beliau, kejayaan tangkapan suspek kes jenayah yang disiasat dengan kerjasama masyarakat berjaya membantu polis meningkatkan tahap keyakinan terhadap penyampaian polis.