KUALA LUMPUR: Semua premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak lagi beroperasi susulan Op Global dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Penutupan Premis: Semua premis berkaitan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak lagi beroperasi susulan operasi Op Global oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  • Siasatan Berterusan: Walaupun premis-premis tersebut telah ditutup, PDRM akan terus mengenal pasti individu yang terlibat untuk didakwa.
  • Kerjasama Agensi: PDRM telah mengadakan mesyuarat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti KKM, JKM, Jakim, Jabatan Kimia Malaysia, dan JPN untuk meneliti situasi semasa dan mengambil tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkaitan.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, walaupun premis terbabit tidak lagi beroperasi, pihaknya akan cuba mengenal pasti individu yang terlibat untuk didakwa.

Bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan, PDRM telah mengadakan sesi mesyuarat bersama pelbagai agensi kerajaan untuk meneliti situasi semasa pengoperasian premis berkenaan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, mesyuarat itu melibatkan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Hasil mesyuarat mendapati premis berkaitan dengan GISB di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi. Maka dicadangkan supaya agensi-agensi yang terbabit mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis itu mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Razarudin menjelaskan tindakan sama akan dibuat di Sarawak mengikut Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16a Akta Pusat Jagaan 1993.