Sahur dan berbuka seperti tidak terasa manis atau masin juadah, Zaity semakin hari semakin tertekan kerana hak pengajaan anak yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 12 Mei lepas seolah-olah tidak mempunyai erti baginya.
Bagaimana tidak, bekas suaminya, Mohamad Asri Noor, 45, yang berasal dari Pasir Mas, Kota Bharu itu melarikan kedua-dua anaknya dan menghilangkan diri sehingga hari ini.
"Keputusan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada 12 Mei 2015 menetapkan hak penjagaan kedua-dua anak, Muhammad Danish Akmal dan Muhammad Danial Akmal diberikan kepada saya sebagai penjaga yang sah dan ibu yang berhak.
"Namun sehingga ke hari ini, bekas suami masih gagal mengembalikan anak-anak saya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Mengikut arahan mahkamah, bapanya diberikan hak lawatan dan bersama-sama anak pada bila-bila masa dan tempat yang sesuai serta munasabah dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Zaity.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan hak bersama dan bermalam bersama anak-anak kepada Mohamad Asri selama dua hari sebulan pada minggu pertama dan ketiga selain perlu memulangkan anak berkenaan selewat-lewatnya pada pukul 6 petang hari Ahad.
Zaity (kiri) terlalu rindukan anaknya Danish (kanan) dan Danial yang dilarikan bekas suaminya baru-baru ini - Sumber gambar Facebook Zaity
Paling penting kata Zaity, dia diberikan hak jagaan selaku ibu kandung menurut peruntukan undang-undang.
"Anak sulong saya, Danish berusia 9 tahun dan bersekolah dalam darjah 3.
"Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah pada 21 Januari lepas secara sembunyi di Sekolah Rendah Pandan Indah, Selangor melalui bantuan Guru Besar untuk mengelak daripada pengetahuan bekas suami kerana khuatir dia mengamuk.
"Selang seminggu dari perjumpaan ini, Danish telah diberhentikan dari sekolah oleh ayahnya dan masih tidak bersekolah hingga ke hari ini. Melalui pemeriksaan di Jabatan Pendidikan, sekolah terakhir yang di daftar masih di Pandan Indah tersebut," katanya sayu.
Sementara anak keduanya, Danial berusia 6 tahun dilarikan oleh bekas suami pada 20 Jun 2014.
"Saya terlalu rindukannya. Sebelum tidur dia selalu hendak bau rambut dan usap kepala saya, baru dia dapat tidur. Genap setahun lebih kami ibu dan anak terpisah.
"Telah setahun lebih saya tidak dapat tidur dengan anak-anak. Kali terakhir saya berjumpa dengan Danial pada 25 Oktober 2014 di Tingkat 4, Mahkamah Syariah Shah Alam," katanya.
Ujarnya, dia terlalu rindu untuk mencium pipi anak-anaknya.
"Selagi ada nyawa, apa sahaja demi dapatkan semula dua anak saya," katanya.
Dalam pada itu jelas Zaity, pelbagai usaha sedang dijalankan baginya dan keluarga mendapat keadilan yang sepatutnya.
"Saya ingin memohon hanya satu pertolongan kecil daripada sesiapa yang membaca mesej ini. Saya mohon doa kalian.
"Saya mohon tolong mendoakan kepada Allah agar diturunkan pertolongan buat kami sekeluarga. Mohon diberi petunjuk dan jalan penyelesaian ke atas kesulitan kami.
"Mohon agar kami dapat bertemu dan bersatu kembali dengan zuriat kami. Mohon agar semua pihak yang terlibat dilembutkan hatinya oleh Allah untuk memberikan kerjasama serta dipadamkan segala amarah dan dendam," katanya yang turut dicatat di dalam laman Facebook miliknya.