VLADIVOSTOK: Malaysia tidak akan menghentikan operasi meneroka kawasan yang berpotensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan, biarpun wujud bantahan daripada China kononnya negara ini telah melepasi sempadan yang dibenarkan.


Ringkasan AI
  • Malaysia akan terus meneroka kawasan minyak dan gas di Laut China Selatan walaupun China membantah, kerana operasi tersebut dilakukan dalam perairan negara sendiri tanpa sebarang provokasi.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia terbuka untuk berbincang dengan China, namun penerokaan itu penting untuk kelangsungan ekonomi negara.
  • Bantahan China menyatakan Malaysia telah melanggar sempadannya, namun Malaysia berpegang kepada hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) mengikut undang-undang antarabangsa, dan siasatan akan dijalankan mengenai kebocoran nota diplomatik Beijing.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan operasi itu dilakukan di dalam kawasan perairan negara dan Malaysia tidak membuat sebarang provokasi.

“Mengenai kawasan tersebut yang dibantah oleh China, kita menegaskan ini adalah kawasan kita, tetapi kita terbuka untuk berbincang. Tetapi penerokaan minyak ini dalam kawasan perairan kita. Kita mungkin akan memberi respons kepada China, menerangkan kedudukan kita, tetapi kita bukan melakukan tindakan provokasi.

“Kita perlu meneruskan penerokaan di perairan kita dan menjamin kelebihan kita, termasuk operasi mencari gali dalam kawasan kita sendiri. Beijing hantar nota bantahan kerana dia rasa itu kawasan dia. Tetapi kita kena teruskan operasi ini kerana ini adalah berkaitan kelangsungan ekonomi kita,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada sidang media Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke sini, di atas jemputan Presiden Rusia sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 anjuran Yayasan Roscongress.

Terdahulu media melaporkan kebocoran nota diplomatik yang dihantar oleh Beijing kepada Malaysia, menyuarakan bantahan terhadap operasi syarikat Petronas di kawasan tersebut.

Nota yang disiarkan oleh media Filipina itu menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan telah memasuki sempadan perairan China.

Kenyataan Wisma Putra pada Rabu menegaskan kebocoran maklumat itu akan disiasat secara rapi memandangkan ia mengandungi maklumat kerahsiaan dan kedaulatan negara-negara.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan China bertegas hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam, adalah di bawah kedaulatannya.

Di bawah undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara, tetapi memberi hak kepada negara yang berkenaan untuk mengekstrak hasil bumi di dalam zon tersebut.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai polisi dan prinsip yang ketat untuk tidak menceroboh masuk ke kawasan negara lain.

“Mereka (China) tahu kedudukan kita. Mereka dakwa kita menceroboh masuk kawasan mereka. Kita kata tidak, itu kawasan kita. Tetapi jika mereka terus tidak puas hati, maka okay, kita akan mendengar, dan mereka juga perlu bersedia mendengar,” katanya lagi.