PUTRAJAYA: Malaysia menggesa semua pihak berkaitan untuk melibatkan diri dalam dialog inklusif dan konstruktif bagi membuka jalan ke arah pemulihan serta memastikan keamanan dan kestabilan jangka panjang di Syria.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan sokongan Malaysia terhadap hak rakyat Syria untuk menentukan masa depan mereka selaras dengan aspirasi yang sah.

Kementerian itu turut berkata Malaysia sedang memantau rapat perkembangan di Syria dan menekankan keperluan mendesak untuk penyelesaian yang mampan berdasarkan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi-resolusi berkaitan Majlis Keselamatan.

"Malaysia percaya dengan melindungi institusi nasional utama serta kebajikan dan kepentingan rakyat Syria perlu menjadi keutamaan dalam tempoh peralihan ini, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan, kemerdekaan dan integriti wilayah Syria," menurut kenyataan itu.

Pentadbiran 61 tahun Parti Baath di Syria berakhir pada Ahad selepas ibu kota Damsyik tidak lagi dikawal kerajaan.

Presiden Syria yang digulingkan, Bashar al-Assad dan keluarganya dilaporkan melarikan diri ke Moscow pada Ahad di mana Rusia menawarkan mereka perlindungan, menurut laporan Agensi Anadolu.

-- BERNAMA