DEIR ATIYAH: Rakaman video konvoi besar kenderaan tentera Rusia dengan sebahagiannya membawa bendera negara itu menuju ke utara Syria tular di media sosial.

Dalam rakaman video itu, deretan model kenderaan tentera Rusia kelihatan di lebuh raya M5 antara Damascus dan Homs namun tidak jelas sama ada terdapat tentera Rusia di dalam kenderaan berkenaan.

Saluran berita Channel 4 Britain melaporkan lebih 150 kenderaan tentera Rusia bergerak di sepanjang jalan yang mana kelihatan seolah wujud perjanjian membenarkan Rusia keluar dari Syria.

Hari ini, sebuah pesawat kargo Rusia berlepas dari pangkalan udara Rusia di Latakia menuju ke Libya yang mana penghantaran tambahan tentera Rusia dari pangkalan udara Hmeimim dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Sementara itu, Kremlin memberitahu tumpuan mereka selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad adalah memastikan keselamatan pangkalan tentera mereka di Syria serta misi diplomatik.