"Meninggalkan Syria bukanlah dirancang dan ia tidak berlaku pada saat-saat akhir pertempuran seperti yang didakwa," kata Assad dalam kenyataan pertama yang disiarkan melalui aplikasi Telegramnya.
"Saya kekal di Damsyik, menjalankan tugas saya sehingga awal pagi 8 Disember," tambah al-Assad.
Ini merupakan kenyataan pertama beliau sejak pasukan pemberontak merampas ibu negara Syria pada 8 Disember lalu.
Sebuah pakatan pemberontak yang dipimpin oleh kumpulan pejuang Islam melancarkan serangan pantas dari kubu mereka di barat laut Syria pada 27 November, dengan pantas merampas bandar-bandar utama dari kawalan kerajaan dan menawan ibu negara pada 8 Disember.
"Apabila pasukan pengganas menyusup ke Damsyik, saya berpindah ke Latakia dengan koordinasi bersama sekutu Russia untuk memantau operasi tempur," kata Assad sambil menambah beliau tiba di pangkalan Hmeimim, Rusia pada pagi 9 Disember.
"Ketika situasi di lapangan semakin merosot, pangkalan tentera Rusia turut diserang dengan serangan dron yang dipertingkatkan," katanya.
Justeru, Moscow, katanya, meminta agar pihak komando mengatur pemindahan segera Assad ke Rusia pada malam 8 Disember lalu.
Sebelum ini, lima bekas pegawai memberitahu AFP, beberapa jam sebelum pasukan pemberontak merampas Damsyik dan menggulingkan kerajaan Assad, bekas presiden Syria itu sudah berada di luar negara.
Menurut mereka, pada malam sebelumnya, Assad meminta penasihat rapatnya menyediakan ucapan - yang tidak pernah disampaikan oleh pemimpin yang digulingkan itu - sebelum terbang dari lapangan terbang Damsyik ke pangkalan udara Hmeimim di Rusia, dan dari situ beliau keluar dari negara terbabit.
"Apabila negara jatuh ke tangan pengganas dan kemampuan untuk memberi sumbangan bermakna hilang, mana-mana kedudukan menjadi tidak bermakna," tambah kenyataan itu.
Assad menggelar kumpulan yang menentang pemerintahannya sebagai 'pengganas'.
Kumpulan pejuang, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), diharamkan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat.
Berasal dari cabang Al-Qaeda di Syria, HTS memutuskan hubungan dengan kumpulan jihad itu pada 2016 dan berusaha untuk melunakkan imej mereka.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, AS dan Britain menjalin hubungan dengan kumpulan terbabit. - Agensi