TANGKAK: Keputusan kerajaan menyekat kemasukan dari India ke negara ini bukan berunsurkan diskriminasi atau rasis, sebaliknya mahu mengawal penularan kes COVID-19 varian baharu daripada merebak ke Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu diambil sewaktu beliau mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

"Semalam kita buat keputusan, kita sekat atau larang, tak benarkan orang yang datang dari India (masuk). Ini bukan soal rasis atau diskriminasi.

"Ini adalah untuk memastikan supaya varian yang begitu ganas yang dibawa dari sana tidak akan terjangkit ke sini.

"Jadi kita tidak akan membenarkan mereka masuk ke sempadan Malaysia sama ada menerusi darat, laut atau udara," katanya ketika berucap pada Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Al-Mubarak Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, di Masjid Jamek Simpang Lima Darat, Bukit Gambir, di sini hari ini.

"Ini pertimbangan-pertimbangan amat sukar yang saya sendiri terpaksa buat kalau sebahagian besar kes itu dibawa ke sidang khas MKN yang saya pengerusikan," kata beliau.

Justeru, Perdana Menteri merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan bersama-sama kerajaan dalam menangani pandemik itu dengan mengikuti arahan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.

"(Antaranya) cara kita berinteraksi, berurusan, bersosial, menjalankan kegiatan sukan, sekolah dan sebagainya... sekiranya tak dikawal secara rapi dan tak ada penguatkuasaan undang-undang diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini, maka masalah wabak ini tak akan dapat diatasi dalam satu tempoh terdekat," katanya.

Muhyiddin menjelaskan rentas negeri masih tidak dibenarkan kerana ia menjadi faktor penyumbang kepada penularan kes COVID-19.

-- BERNAMA