Kedutaan Besar Malaysia di Timor-Leste dalam kenyataan semalam memaklumkan kira-kira 200 penonton terdiri daripada anggota pertahanan dan pasukan polis (F-FDTL dan PNTL), penjawat awam Timor-Leste, penggiat filem muda, pelajar, anggota kor diplomatik, rakan-rakan dan pelbagai alumni Malaysia hadir menyaksikan filem arahan bersama Zulkarnain Azhar dan Frank See itu.
"Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kedutaan Besar Malaysia di Timor-Leste berbangga dapat menyertai DIFF sebuah acara yang dinaungi Presiden Timor Leste Dr. Jose Ramos-Horta.
"DIFF kini telah memasuki edisi keenam dan tahun ini ia berlangsung dari 26 Sept hingga 12 Okt. Selain tayangan filem dari pelbagai negara, festival ini juga menampilkan pertandingan filem pendek dan bengkel untuk penggiat filem muda," menurut kenyataan itu.
Filem aksi ketenteraan Malaysia terbitan 2022 berdurasi 105 minit itu mengisahkan operasi khas yang dilancarkan oleh Pasukan Khas Udara (PASKAU) di sebuah negara fiksyen Namburi yang dilanda peperangan.
-- BERNAMA