Penilaian itu akan juga melibatkan usaha mengenal pasti bidang baharu dan jurang yang boleh ditangani dalam kajian semula itu untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.
"Menteri Perdagangan (kedua-dua negara) akan bertemu tahun depan untuk mempengerusikan bersama suruhanjaya bersama bagi memajukan cadangan untuk merancakkan semula MNZFTA," kata Anwar dan Luxon menerusi satu kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand itu ke Malaysia.
Luxon tiba di Malaysia pada 1 Sept bagi lawatan rasmi selama tiga hari dan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri pada November 2023.
Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik usaha menambah baik Kawasan Perdagangan Bebas Asean Australia New Zealand (AANZFTA) dan kejayaan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin mengiktiraf kerjasama kukuh antara Malaysia dan New Zealand melalui Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik dalam memajukan Wawasan Putrajaya 2040, termasuk melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Aotearoa, bertujuan untuk memupuk masyarakat Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040.
New Zealand dan Malaysia akan bekerjasama dalam Kajian Umum Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk mengemas kini dan mengukuhkan perjanjian bagi memastikan CPTPP kekal sebagai standard terbaik bagi perjanjian perdagangan.
Kedua-dua pemimpin yakin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF), yang memuktamadkan perjanjian untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, mempercepat peralihan kepada ekonomi bersih dan mengukuhkan langkah pencegahan rasuah dan cukai bakal membawa impak yang besar kepada rantau ini.
"Malaysia dan New Zealand berharap dapat saling bekerjasama serta bersama-sama rakan IPEF yang lain untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta menggalakkan keterangkuman, daya tahan dan ketelusan di seluruh rantau ini," kata mereka.
Anwar dan Luxon berkata kedua-dua negara menyambut baik pelaksanaan perintis pensijilan elektronik untuk perdagangan di kedua-dua arah dan mengarahkan para pegawai meneruskan usaha antara agensi untuk meningkatkan lagi akses pasaran bagi produk masing-masing dan mengekalkan pematuhan serta mengurangkan kos transaksi bagi pengeksport dari kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga berharap agar agensi berkaitan di kedua-dua pihak berusaha memuktamadkan draf Rancangan Eksport Buah-buahan dan Sayur-sayuran Segar dari Malaysia ke New Zealand, terutamanya eksport Nanas Malaysia ke New Zealand.
"Perkara lain yang akan dimuktamadkan adalah pengaturan pelaksanaan tenusu untuk pengiktirafan kesetaraan sistem keselamatan makanan bagi produk tenusu, pelaksanaan halal yang dinaik taraf, serta pelaksanaan pensijilan elektronik," kata mereka.
-- BERNAMA