DAVOS (Switzerland): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendigitalan merupakan "komponen yang tercicir" dalam semua perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia sebelum ini.

Menekankan transformasi digital adalah salah satu keutamaan yang digerakkan secara agresif oleh ASEAN, beliau berkata Malaysia yang kini sedang merancang untuk menambah baik beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia adanya, juga menimbang pendigitalan sebagai sebahagian daripada "penambahbaikan" itu.

"Kami baru sahaja memeterai FTA dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas. Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan United Kingdom. Dan kini, kami mahu mempercepatkan kemajuan dengan Kesatuan Eropah melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA).

"Satu komponen yang sangat penting yang tiada dalam semua FTA sebelum ini sudah tentunya pendigitalan," kata beliau pada taklimat media di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di sini, pada Selasa.

Mengenai transformasi digital dalam ASEAN, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketersambungan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) perlu mengambil kira pelbagai jurang di kawasan bandar dan menyediakan lebih banyak ketersambungan ke kawasan kurang membangun.

"Komitmen kami adalah untuk memastikan penghantaran seperti ini (Grid Kuasa ASEAN atau APG) dan juga transformasi pendigitalan akan meliputi semua sudut dan bidang.

"Jika kedua-dua keutamaan ini dicapai, saya fikir ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa bagi ASEAN sebagai sebuah rantau kerana, seperti yang anda tahu, secara relatifnya ia adalah rantau paling aman di dunia dan ekonomi yang paling pesat berkembang. Tetapi kami tidak memberi penekanan kepada kerjasama ekonomi atau teknologi yang substantif," kata beliau.

Anwar juga melahirkan keyakinan konsensus yang dicapai dalam kalangan pemimpin ASEAN, menandakan peralihan radikal yang sangat penting daripada pandangan konvensional pemimpin ASEAN pada masa lalu.

Selain itu, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan sektor swasta bersatu melalui kerjasama dalam pendigitalan untuk mempercepatkan inisiatif dalam kalangan negara anggota.

Selain pendigitalan, negara anggota juga menyasar untuk merealisasikan APG, yang merupakan rangkaian saling sambung kuasa serantau untuk menghubungkan rantau itu, yang seterusnya boleh membawa kepada sistem grid kuasa Asia Tenggara bersepadu sepenuhnya.

APG menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, termasuk sambungan Sarawak-Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berkongsi pandangan beliau tentang "Unlocking ASEAN Digital Future" sebagai pengerusi ASEAN, pada taklimat itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Lee Joo-Ok Ketua Agenda Serantau, Asia-Pasifik; Ahli Jawatankuasa Eksekutif WEF, dan Christophe De Vusser Rakan Kongsi Urusan Global Bain Company. 

Anwar kini dalam lawatan kerja selama tiga hari menghadiri WEF 2025, yang kali pertama dihadiri beliau sejak menyandang jawatan perdana menteri pada 2022.

-- BERNAMA