PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' bagi sambutan Hari Kebangsaan untuk edisi 2024.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' bagi sambutan Hari Kebangsaan untuk edisi tahun ini.
  • Pemilihan tema tersebut bagi menzahirkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif.


Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan tema tersebut bagi menzahirkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif.

"Tema ini turut menginterpretasikan semangat patriotik meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

"Jiwa Merdeka merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya,'' ujarnya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengumuman Logo Dan Tema Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia di Putrajaya pada Rabu.

Pada masa sama, Fahmi turut memaklumkan, jemaah menteri menerusi Mesyuarat Kabinet pada hari ini juga bersetuju bahawa logo bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dikekalkan seperti tahun sebelumnya.

Selain itu, bagi terus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2024, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 turut akan dilancarkan pada 13 Julai depan.

‘’Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 telah memulakan gerak kerja sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan pelbagai program yang dilaksanakan di seluruh negara.

‘’Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 dimulakan dengan penganjuran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 pada 19 Mei lalu di stesen Sentral Kuala Lumpur,’’ tambahnya.

Tambahnya, signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos yang akan berlangsung di Putrajaya.

Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan hingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September di Sabah.

Program sampingan yang mengisi kalendar sambutan pula melibatkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang merupakan aktiviti konvoi kenderaan bagi membawa mesej kenegaraan dengan simbolik penyerahan Jalur Gemilang di setiap lokasi perhentian konvoi.

Turut diadakan program Langkah Jiwa Merdeka bersama Membangun Malaysia MADANI, Semarak Gemilang Kita MADANI, Perkampungan MADANI, Jiwa Merdeka antara Kementerian dan PENTARAMA Live Jam.

Fahmi berkata lagi, Inisiatif ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ juga akan terus disemarakkan bagi menterjemahkan semangat patriotik di dalam diri setiap individu di Malaysia.