KUALA LUMPUR: Malaysia ketika ini kurang berbelanja untuk sektor kesihatan berdasarkan kepada nisbah peruntukan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  


Ringkasan AI
  • Malaysia kurang berbelanja untuk sektor kesihatan, dengan hanya 2-3% daripada KDNK diperuntukkan, dan sektor swasta perlu digalakkan meningkatkan pelaburan dalam penjagaan kesihatan.
  • Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 akan diadakan pada 25-27 Oktober 2024, bertujuan memperkukuh penjagaan kesihatan negara melalui kolaborasi antara pemimpin, inovator, dan pembuat dasar global.
  • Acara MIH Megatrends 2024 turut menampilkan pelbagai aktiviti kesihatan menarik seperti derma darah, saringan kesihatan, hiburan kanak-kanak, dan pengalaman teknologi terkini, dengan masuk percuma.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor kritikal ini, pihak swasta perlu digalakkan untuk meningkatkan pelaburan dalam penjagaan kesihatan negara. 

“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada perbelanjaan awam (untuk sektor kesihatan) yang mewakili dua hingga tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  

“Kita sangat berharap sektor swasta turut menyumbang dengan meningkatkan pelaburan dalam kesihatan. Sebagai sebuah negara berpendapatan pertengahan atas, kita perlu (berbelanja) lebih tinggi (untuk kesihatan).  

“Kita sepatutnya berbelanja sehingga lima ke enam peratus (daripada KDNK). Bukan semata-mata persepsi, bahkan hakikatnya kita kurang berbelanja (untuk kesihatan). Pun begitu, persoalannya adalah bagaimana untuk kita galakkan sektor swasta untuk turut meningkatkan perbelanjaan (dalam sektor kesihatan),” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa. 


Agenda AWANI: MIH Megatrends | Shaping the future of healthcare

Tambahnya, kaedah pembiayaan ini adalah bagi memastikan sektor kesihatan awam dapat terus beroperasi secara mampan. Di samping itu, penjagaan kesihatan juga perlu terus dipertingkatkan mutu penyampaiannya. 

Dalam hal ini, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata Malaysia perlu juga mengambil peluang ini untuk mengetengahkan pelbagai amalan terbaik yang membolehkan sektor kesihatan negara berjalan dengan baik. 

“Ini merupakan masa terbaik pascapandemik untuk kita meningkatkan standard penjagaan kesihatan di Malaysia ke peringkat global.  

“Ini juga masanya untuk orang ramai mengiktiraf bahawa Malaysia bukan semata-mata menjadi pilihan dalam aspek pelancongan kesihatan, bahkan sejak beberapa tahun kita telah lakukan banyak amalan terbaik.  

“Tetapi kita lakukan dengan cara kita tanpa hebahan meluas. Ini masanya untuk kita kongsikan kemajuan (kesihatan) yang telah kita capai dan bagaimana ia membantu sektor ini secara menyeluruh,” katanya dalam program yang sama. 

Menurut Keat Chyuan, amalan-amalan terbaik ini akan ditonjolkan melalui Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 pada 25 hingga 27 Oktober 2024 akan datang, yang merupakan acara kesihatan terbesar di Malaysia. 

MIH Megatrends 2024 ini merupakan acara penjagaan kesihatan terkemuka negara, dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama KPJ Healthcare dan dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Acara nasional yang berprestij ini akan menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan global, profesional, inovator dan pembuat dasar untuk meneroka kemajuan canggih, bertukar pengetahuan dan menjalin kerjasama yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti, aksesibiliti dan kelestarian penjagaan kesihatan. 

Pelbagai aktiviti dan pameran menarik menanti pengunjung di MIH Megatrends 2024, termasuk hiburan bersama Didi & Friends yang pasti menggembirakan kanak-kanak, zon kanak-kanak dengan aktiviti khas untuk si kecil, serta peluang untuk bertemu dengan pempengaruh kesihatan terkenal, antaranya Dr Malar Santhi Santherasegapan, Dr Samhan dan Dr Muhammad Noor Zakaria.

Anda juga boleh menyumbang kepada masyarakat melalui derma darah, menjalani pemeriksaan payu dara yang penting untuk wanita, dan menerokai teknologi kesihatan terkini melalui pengalaman realiti terimbuh (VR). 

Selain itu, terdapat kempen Pink October untuk menyokong kesedaran kanser payudara, saringan kesihatan percuma, serta rawatan urutan dan akupunktur untuk kesejahteraan tubuh dan minda. Masuk adalah percuma! Maklumat lanjut di mihmegatrends.my.