Menurutnya, HSI menggantikan peranan Hospital Changkat Melintang yang dibuka sejak 1971, sebagai ‘non-lead hospital’ yang mana perkhidmatan kepakaran disalurkan dari Hospital Seri Manjung sebagai ‘lead hospital'.
"Melalui pendekatan ini, Hospital Seri Iskandar akan mendapat akses kepada perkhidmatan kepakaran secara kluster.
"Hospital Changkat Melintang akan terus beroperasi sebagai step-down ward dan Kementeran Kesihatan dalam proses untuk menilai potensi hospital ini untuk dijadikan pusat hemodialisis, terutamanya bagi pesakit-pesakit yang berhampiran," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Seri Iskandar dan Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, pembangunan HSI yang menelan kos RM153.18 juta di atas tanah seluas 18.9 ekar itu, bakal memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Daerah Perak Tengah dan kawasan sekitarnya.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur dan peralatan yang lebih baik, berkualiti dan selesa kepada penduduk Seri Iskandar serta kawasan sekitar," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, sebanyak 516 penjawatan baharu telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi ditempatkan di HSI.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan sebanyak 22 jawatan merupakan pegawai perubatan diikuti penolong pegawai perubatan (97), jururawat (137) dan skim perkhidmatan lain (260).
Jelasnya, HSI bakal menawarkan perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran yang disediakan melalui lawatan berkala termasuk perubatan kecemasan; perubatan am dan pembedahan am; pediatrik; psikiatri; ortopedik obstetrik dan ginekologi serta radiologi.
“Bagi mengoptimumkan hospital baharu, KKM merancang untuk meningkatkan kekerapan lawatan pakar dalam semua bidang perubatan.
“Namun ia perlu mengimbangi keperluan perkhidmatan dan permintaan antara Hospital Seri Manjung dan hospital ini, agar perkhidmatan di hospital utama tidak terjejas,” ujarnya.
Katanya lagi, seorang Pakar Perubatan Am dan seorang Pakar Klinikal Kecemasan juga akan ditempatkan di hospital itu secara residen.
“Melalui pendekatan ini, isu kadar penggunaan katil (BOR) yang rendah di Hospital Changkat Melintang sebelum ini (44 peratus sahaja) akan dapat diatasi (tidak ramai pesakit perlu dirujuk ke Lead Hospital),” katanya.
HSI merangkumi pembinaan blok utama hospital tiga tingkat berkapasiti 76 katil, blok mekanikal dan elektrikal, tempat letak kereta berbumbung, blok sokongan seperti pondok pengawal, rumah sampah domestik, klinikal serta garaj ambulan.
Pelaksanaan pembinaan projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri atau (IBS) dengan memperolehi penilaian skor IBS melebihi 70 peratus.