KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP) yang diperkenalkan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semenjak 2007 kini tersedia di 10 hospital awam seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (PPBP) kini tersedia di 10 hospital awam di seluruh negara, termasuk Putrajaya dan Selayang sebagai perintis.
  • PPBP bertujuan mengurangkan penghijrahan pakar perubatan ke hospital swasta dan mengurangkan beban kerajaan dalam menanggung subsidi perkhidmatan kesihatan.
  • Program Rakan KKM diperkenalkan untuk menawarkan perkhidmatan nilai tambah kepada pesakit yang mampu membayar, dengan hasil disalurkan semula kepada hospital dan klinik KKM melalui subsidi silang.


Putrajaya dan Selayang merupakan perintis manakala dalam fasa pertama melibatkan Hospital Pulau Pinang; Ampang; Serdang; Sungai Buloh; Sultanah Aminah; Sultan Ismail; Umum Sarawak dan Queen Elizabeth II.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bertujuan mengurangkan penghijrahan pakar perubatan ke hospital swasta dengan menyediakan platform kepada kumpulan pekerja itu menjana pendapatan tambahan yang kompetitif.

“Objektif utama lain ialah mengurangkan beban kerajaan dalam menanggung subsidi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat yang berkemampuan.

“Dan memberi peluang kepada rakyat untuk dirawat pakar perubatan pilihan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai justifikasi cadangan meluaskan PPBP dan beban tambahan kepada doktor serta penjagaan pesakit.

Ujar Dr Dzulkefly, perkhidmatan itu dilaksanakan dengan beberapa syarat termasuk pakar perubatan terlibat hanya dibenarkan merawat pesakit luar tidak melebihi 30 peratus daripada jumlah kedatangan bagi setiap sesi klinik.

“Penglibatan pakar perubatan dalam PPBP tidak boleh menjejaskan perkhidmatan kepada pesakit awam lain dan ia hanya dilakukan setelah selesai merawat pesakit awam.

“Berdasarkan kajian oleh Institut Pengurusan Kesihatan KKM pada 2018, secara umumnya pesakit PPBP didapati berpuas hati dengan perkhidmatan ini,” katanya,

Tambah beliau, pihaknya turut memperkenalkan Rakan KKM dengan menawarkan perkhidmatan nilai tambah kepada pesakit yang mampu membayar.

“Ia dilakukan tanpa menjejaskan akses kepada golongan kurang berkemampuan dan inisiatif ini bukanlah cadangan untuk meluaskan bahagian swasta di hospital Kerajaan.

“Hasil daripada Rakan KKM akan disalurkan semula kepada hospital dan klinik KKM melalui subsidi silang dan dilaburkan dalam perkhidmatan berkongsi yang akan memberi manfaat kepada semua pesakit, termasuk mereka yang tidak menyertai program Rakan KKM,” jelasnya. -- Sinar Harian