BALIK PULAU: Malaysia akan menjadi sebuah negara hebat di Asia jika Kerajaan Perpaduan terus mentadbir negara bagi tempoh lima tahun lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keyakinan itu adalah susulan rekod prestasi kerajaan yang telah membela isu rakyat pelbagai lapisan sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk kepimpinan negara sejak lapan bulan lepas.

"Baik padi, baik getah, rumah polis, rumah tentera, gaji penjawat awam, nelayan kita cuba maksimum dalam masa lapan bulan.

"Bayangkan kalau kita boleh perintah lima tahun, insya-Allah Malaysia akan jadi hebat sebagai satu negara Asia," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari di gerai Gulai Kalut Hot Stall, di sini.

Anwar berkata kerajaan kini dalam pelbagai perancangan untuk rakyat negara ini termasuk membela gaji pekerja swasta dan berjanji akan melaksanakannya.