BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang, di Vila 5, Rumah Tamu Negara Diaoyutai, di sini.

Pertemuan itu sempena lawatan rasmi beliau yang pertama ke republik berkenaan bermula 22 Mei hingga esok, atas jemputan Xuexiang.

Kedua-dua rakan sejawat mengadakan mesyuarat selama kira-kira 45 minit.

Dalam ucapan ringkasnya Xuexiang mengalu-alukan kehadiran Ahmad Zahid serta rombongannya dan beliau amat menghargai lawatan itu.

“Lawatan ini amat bermakna kerana China dan Malaysia sedang meraikan hubungan diplomatik ke-50 tahun," katanya.

Beliau juga menghargai Ahmad Zahid sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan memberi  sumbangan positif hubungan diplomatik Malaysia-China.

Timbalan Perdana Menteri China itu berkata, beliau amat menghargai lawatan Ahmad Zahid yang bermula di Hong Kong, Shenzhen dan Shanghai sekaligus merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

"Malaysia merupakan jiran yang rapat, sahabat yang akrab sejak hubungan diplomatik dijalin 50 tahun lalu," tambahnya lagi.

Dalam ucapan alu-aluan Ahmad Zahid berkata, beliau amat berterima kasih atas undangan Xuexiang untuk lawatan rasmi ke China kali ini.

“Lawatan yang bermula d Hong Kong, Shenzhen dan Shanghai berjaya mengukuhkan hubungan kerjasama terutama dalam bidang teknologi dan TVET.

“Ini jelas mencerminkan hubungan yang terjalin sejak 1974 itu sudah berkembang menjadi semangat keakraban yang mendalam, hasil daripada wawasan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak dan rakan sejawatannya dari China,  Perdana Menteri Zhao Enlai," katanya.

Bertitik tolak daripada perjanjian yang dimeterai pada 31 Mei 1974, turut menjadi satu catatan sejarah kerana menjadikan Malaysia sebagai negara pertama ASEANmenjalin hubungan diplomatik dengan China sebelum Beijing memulakan dasar pembaharuan pada 1978.

Ahmad Zahid berkata, ulang tahun ini menjadi kejayaan bermakna bagi Malaysia, apa lagi yang pertama untuk mana-mana negara Asia Tenggara dengan bertindak menjalin hubungan dengan China yang ketika itu sebahagian besarnya terasing daripada masyarakat antarabangsa.

Turut sama dalam pertemuan itu Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, Setiausaha Bahagian Asia Timur, Kementerian Luar Negeri, Datuk Tarid Sufian, dan Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.