KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed Ali dijadual mengadakan lawatan rasmi pertama ke Malaysia dari Jumaat (25 Okt) hingga Sabtu (26 Okt).

Sejak memegang jawatan pada April 2018, lawatan ini menandakan pencapaian penting dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Lawatan ini turut menggariskan kepentingan strategik Malaysia dalam dasar luar Ethiopia dan menyerlahkan potensi kerjasama lebih erat dalam menangani cabaran global yang dikongsi bersama.

Hubungan diplomatik antara Ethiopia dan Malaysia telah terjalin sejak 1965.

Ethiopia mengekalkan kedutaannya di Kuala Lumpur, manakala Malaysia menguruskan hubungan diplomatik dengan Ethiopia melalui kedutaannya di Khartoum, Sudan kerana tiada kehadiran diplomatik langsung di Ethiopia.

Menurut kertas kerja yang diterbitkan pada Mac 2021 bertajuk Ethiopia Investment and Trade Opportunities: Presented to Malaysian Investors, Ethiopia mengeksport kopi, produk kulit dan komoditi pertanian ke Malaysia pada 2017 berjumlah AS$723,616.

Sebaliknya, Ethiopia mengimport barangan dari Malaysia bernilai kira-kira AS$340 juta, termasuk gula, kapas, asid lemak, minyak sayuran, kertas dan produk kertas, peralatan perubatan serta bahan pencuci.

Malaysia diiktiraf sebagai rakan dagang penting dan antara pelabur terbesar di Ethiopia.

Agensi Berita Xinhua melaporkan, pada 2005, perjanjian antara Kementerian Perlombongan Ethiopia (MME) dan PETRONAS ditandatangani untuk meneroka dan menjalankan penerokaan dan pengeluaran petroleum di Ethiopia.

Memetik laporan akhbar The Ethiopian Reporter yang diterbitkan di Addis Ababa, pada 2007 PETRONAS dan MME Ethiopia menandatangani perjanjian pembangunan gas yang membolehkan syarikat itu membangunkan rizab gas asli di kawasan Calub dan Hilala di Negeri Somali, Ethiopia.

Kedua-dua negara juga mungkin berhasrat mempromosikan sektor pelancongan dengan mempamerkan tarikan unik masing-masing.

Ethiopia, yang terkenal dengan sejarah dan warisan budayanya yang kaya, serta Malaysia yang masyhur dengan kepelbagaian landskap dan bandar-bandar yang meriah, menawarkan peluang pelancongan yang menarik.

Selain itu, menurut penerbitan Connecting with Emigrants oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), diaspora kecil Ethiopia di Malaysia turut menyumbang kepada kepelbagaian masyarakat negara ini, dengan penglibatan aktif dalam pelbagai bidang profesional.

Lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama baharu, sekali gus mempereratkan persahabatan antara Malaysia dan Ethiopia.

Abiy dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada Oktober 2019 atas peranannya dalam mencapai keamanan dan kerjasama antarabangsa, terutamanya dalam menyelesaikan konflik yang berlarutan dengan Eritrea, negara yang terletak di timur laut Ethiopia dan bersempadan dengan Laut Merah. - BERNAMA