Pesawat yang membawa Abiy, bersama Wanita Pertama, Zinash Tayachew Bere dan delegasinya, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.30 pagi.
Antara yang menyambut ketibaan beliau adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Datuk Yubazlan Yusof.
Sejurus tiba, Abiy memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.
Lawatan Abiy ke Malaysia bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Ethiopia.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan, Abiy akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.
"Perbincangan antara kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan, dan pendidikan.
"Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala tersebut," menurut kenyataan itu.
Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada tahun 2023.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Produk yang dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian, dan kasut.
Pada 2023, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia. - BERNAMA