KUALA LUMPUR: Filipina dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dengan majlis resepsi besar-besaran di sini pada Rabu.

Dianjurkan oleh Kedutaan Filipina di Malaysia, acara itu dihadiri oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique Manalo dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai tetamu kehormat.

Sambutan itu juga bertepatan dengan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina kelapan yang berlangsung di Putrajaya dan berakhir hari ini, menekankan hubungan mendalam dan pelbagai rupa antara kedua-dua negara.

Dalam ucapannya, Mohamad menekankan kekuatan berterusan dalam perkongsian dua hala yang ditandai dengan perdagangan kukuh, budaya yang meriah dan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.

"Bersama-sama, kita telah menghadapi cabaran dan merebut peluang yang telah membentuk rantau Asia Tenggara," katanya.

Beliau turut menyatakan harapan untuk masa depan yang menjanjikan dan berjaya bagi kedua-dua negara.

Sementara itu, Manalo dalam ucapan pembukaannya menekankan komitmen bersama kedua-dua negara terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

"Dalam hal ini, saya memberi jaminan kepada kerajaan Malaysia dan Menteri Mohamad Hasan bahawa sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan pencari laluan yang inovatif, kami akan menyokong Malaysia dengan penuh penghargaan ketika negara itu mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

"Prinsip panduan kami dalam sokongan ini adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN," tambahnya.

Majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu itu menyediakan platform bagi kedua-dua negara meraikan hubungan bersejarah mereka dan melihat ke hadapan untuk kerjasama masa depan, khususnya dalam rangka kerja ASEAN.

Duta Filipina ke Malaysia Maria Angela Abrera Ponce, turut hadir.

Hubungan diplomatik antara Filipina dan Malaysia telah dimulakan pada 1959 dengan penubuhan delegasi Filipina di Kuala Lumpur, yang secara rasmi dinaik taraf menjadi konsulat pada 18 Mei 1964.

Sejak itu, kedua-dua negara kekal komited untuk saling menghormati dan bekerjasama.

Pada 2023, Filipina merupakan rakan dagangan global ke-17 terbesar Malaysia dan rakan dagang kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan nilai keseluruhan RM36.12 bilion (US$7.92 bilion).

-- BERNAMA