MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) mula mengedarkan kad haji Nusuk bagi musim haji 1445H/2024M secara berperingkat kepada jemaah haji Malaysia, menjadikan Malaysia antara negara terawal yang berbuat demikian bagi memperkemaskan proses dan meningkatkan langkah keselamatan untuk jemaah.

Kad inovatif yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam format digital dan fizikal itu adalah platform komprehensif yang memudahkan interaksi jemaah haji dengan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, maklumat komprehensif berhubung data peribadi membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah, selain memberi manfaat daripada pelbagai perkhidmatan untuk memperkayakan pengalaman haji mereka.

"Kad haji Nusuk ini juga mempunyai maklumat penempatan jemaah serta tempat-tempat beribadat yang lazim dilawati jemaah," kata beliau semasa majlis mengedarkan kad itu kepada jemaah di Ibu Pejabat TH di Abraj Janaderiyah, Makkah.

Jemaah haji Malaysia menunjukkan kad haji Nusuk yang diterima. - Gambar/ TH

Justeru, beliau menasihatkan jemaah Malaysia sentiasa membawa, menjaga dan menggunakan kad Nusuk ini kerana ia juga akan berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri yang membolehkan jemaah untuk masuk ke tempat-tempat beribadat di tanah suci.

“Alhamdulillah, kerajaan Arab Saudi sentiasa meneruskan usaha bagi menambah baik perkhidmatan mereka untuk memperkayakan lagi pengalaman tetamu Allah dari seluruh dunia. TH yakin inisiatif baharu ini akan memberi nilai tambah kepada jemaah negara dari segi kelancaran pergerakan termasuklah keselamatan,” kata Syed Saleh.

Tambah beliau, jemaah haji Malaysia diingatkan untuk sentiasa membawa kad nusuk ini bersama-sama mereka dan menjaga kad haji Nusuk dengan baik kerana ia merupakan sebahagian dari peraturan yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi bagi jemaah haji tahun ini.

Syed Saleh turut menekankan bahawa kad itu wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah serta untuk memudahkan pergerakan mereka antara Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menurutnya inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi dalam menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Malah, ia juga adalah untuk memastikan hanya jemaah haji yang mempunyai visa haji yang sah sahaja boleh menunaikan ibadat haji sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Awal bulan ini, pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan melancarkan kad jemaah haji Nusuk yang akan mula digunakan pada musim haji tahun ini.

Pelancaran kad itu adalah siri terbaru dalam pembaharuan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Antara lain, kad haji Nusuk bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji bagi memudahkan ibadah haji.

Ia juga mengurangkan kadar individu mengerjakan haji secara haram kerana direka supaya mudah dibaca secara automatik dan mempercepatkan pekerja haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti setiap jemaah.

Kad itu seterusnya membantu menghalang individu yang tidak dibenarkan memasuki Makkah dan Madinah, sekali gus melindungi keselamatan jemaah.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH ditanya langkah yang perlu diambil jika berlaku kehilangan kad haji Nusuk itu dalam kalangan jemaah.

Menurutnya, jemaah perlu segera melaporkan perkara itu kepada TH sebelum pihaknya berurusan dengan Mashariq untuk disemak jika ada kemungkinan dijumpai.

"Jika tidak dijumpai juga, pihak Mashariq akan mengeluarkan gantian kepada jemaah haji yang mengalami masalah tersebut," jelasnya.

Bagaimanapun TH berharap semua jemaah haji menjaga dengan baik kad haji nusuk itu sebagai satu dokumen pengenalan diri dan menganggapnya sebagai sesuatu penting untuk dijaga secara peribadi.

Untuk rekod, Mashariq menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas untuk jemaah haji Malaysia khususnya kemudahan ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada waktu puncak ibadah haji atau masyair.

Selain itu, kos sambutan jemaah haji Malaysia memasuki Makkah dan penghantaran mereka keluar dari Makkah sama ada ke Madinah ataupun Malaysia, dan tempoh berada di Makkah dikendalikan Mashariq.

Seterusnya, elemen paling penting ialah perkhidmatan serta kemudahan ketika masyair seperti dari segi khemah penginapan, penghawa dingin, makan minum, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji antara Makkah, Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Selain itu, urusan bimbingan dan pandu arah kepada jemaah haji seperti ketika menunaikan umrah pertama serta melontar di jamrat dan perkhidmatan berkenaan akan diurus serta disediakan oleh pihak Mashariq.

Kuota rasmi haji Malaysia yang diberikan kerajaan Arab Saudi pada tahun ini adalah seramai 31,600 orang dan mereka akan tiba di tanah suci secara berperingkat sehingga penerbangan terakhir pada 9 Jun ini.

Hari Wukuf ialah pada 9 Zulhijjah atau 15 Jun ini, iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.