Seiring dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, forum itu dijangka menjadi platform penting untuk menangani cabaran serantau dan meningkatkan kerjasama antara kerajaan.
Lokasi strategik di Kuching, berhampiran ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, turut membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama di seluruh rantau ini.
"Kuching, sebagai pintu masuk ke Borneo, menawarkan suasana unik yang menggabungkan tradisi dan inovasi, sekali gus menampilkan pendekatan progresif Sarawak terhadap zakat dan wakaf," kata Mohd Na'im kepada Bernama.
Beliau menegaskan, forum ini berperanan penting sebagai sebuah organisasi global yang menyatukan pelbagai pihak berkepentingan yang berdedikasi terhadap prinsip zakat dan wakaf.
"Dengan bekerjasama bersama penggubal dasar, badan bukan kerajaan, ulama dan sektor swasta, kita dapat meningkatkan kesan forum ini serta menjadikan zakat dan wakaf sebagai elemen utama bagi pembangunan lestari dan perubahan sosial," katanya.
Sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal zakat dan wakaf, Mohd Na'im akan mengarahkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Wakaf Malaysia untuk bekerjasama erat dengan forum itu.
Inisiatif ini bertujuan memastikan agenda dan tema yang dipilih mampu memberi impak positif dalam pentadbiran zakat dan wakaf, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.
"Kami ingin memastikan wakaf menjadi sumber ekonomi yang signifikan dan masyarakat Muslim, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa memahami kepentingannya setara dengan zakat.
"Ini penting bagi mempromosikan kebajikan, keadilan, dan belas kasihan terhadap golongan yang memerlukan," katanya.
Mohd Na'im berada di Jakarta atas jemputan kerajaan Indonesia untuk menghadiri Forum Zakat dan Wakaf Dunia 2024 selama dua hari yang berakhir pada Sabtu.
Forum berkenaan berjaya menghimpunkan wakil daripada 43 negara termasuk tokoh ulama, usahawan dan golongan belia. - BERNAMA