Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu di lautan tersebut dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.
Menurutnya, buat masa ini, negara ASEAN dan China sedang melakukan rundingan Code of Conduct in the South China Sea (COC).
Jelasnya, COC dilihat sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan dan tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.
“Saya juga ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.
“Sebagai Negara Penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf COC.
“Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.
“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH - Pulai) yang meminta kerajaan menyatakan cadangan penyelesaian ketegangan di Laut China Selatan di antara China dan negara ASEAN.