Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memacu integrasi ekonomi serantau di bawah fasa dua Pelan Induk Komuniti ASEAN, terutama menerajui usaha menyelesaikan pelbagai isu tertangguh seperti halangan bukan tarif (NTB), langkah-langkah bukan tarif (NTM) serta standard dan kepatuhan.

Sejajar dengan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah menggesa negara anggota ASEAN mengurangkan NTB dalam kalangan mereka, sebagai pendahulu kepada usaha yang lebih besar dan lebih terselaras dalam menyelesaikannya di peringkat serantau.

Menurut kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Ekonomi Untuk ASEAN dan Asia Timur, jumlah NTM telah meningkat kepada 5,975 pada 2015 daripada 1,634 pada 2000.

Mustapa berkata ketika negara terus membangun, lebih banyak langkah lebih ketat bertujuan memastikan pematuhan produk terhadap standard kesihatan, sanitari dan fitosanitari, dijangka meningkat.

"Adalah penting yang langkah-langkah baharu ini dibuat secara telus dan tidak dilaksana dengan hasrat untuk melindungi industri tempatan yang tidak cekap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mustapa berkata, Penyelesaian Untuk Pelaburan, Perkhidmatan dan Perdagangan ASEAN (ASSIST), iaitu platform dalam talian untuk sektor swasta mengemukakan aduan mengenai isu rentas sempadan, tidak diguna sepenuhnya oleh komuniti perniagaan.

ASSIST dilancar ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015 kerana negara ini percaya ia akan menjadi instumen berkesan dalam menangani pelbagai isu NTB.

"Sehubungan itu, adalah perlu untuk mendapat maklum balas sektor swasta mengenai mengapa hanya satu aduan telah dibuat oleh sektor berkenaan," katanya.

Mustapa mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-49 dan Mesyuarat Berkaitan di Pasay City, Manila, Filipina yang bermula semalam bagi meningkatkan lagi hubungan ekonomi serantau.

Beliau turut mengadakan beberapa mesyuarat dua hala sempena majlis tersebut.

-- BERNAMA