Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, bursa terus menarik pelaburan ke dalam pasaran modal dan menjangkakan prestasi korporat yang lebih baik bagi tahun ini berbanding 2023.
"Kami menyaksikan aliran masuk yang kukuh daripada pelabur domestik dan asing. Berdasarkan prestasi semasa dan momentum yang dijangka pada separuh kedua 2024, kami telah menyemak sasaran PBT kami," katanya semasa Taklimat Media mengenai Keputusan Kewangan Separuh Pertama Bursa Malaysia 2024 pada Selasa.
Bursa tersebut optimis untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2024.
Abdul Wahid berkata, Bursa Malaysia telah mengekalkan sasarannya untuk meningkatkan segmen hasil bukan dagangan sebanyak lima peratus hingga tujuh peratus bagi TK2024.
Selain itu, Bursa Malaysia berhasrat untuk kekal kukuh tahun ini dengan menyasarkan 42 tawaran awam permulaan (IPO) dan jumlah permodalan pasaran IPO bernilai RM13.0 bilion pada 2024.
"Kami telah menyelesaikan 28 IPO pada separuh pertama 2024," katanya.
Sehingga akhir Jun 2024, Bursa Malaysia telah merekodkan 21 IPO, iaitu empat di Pasaran Utama, 16 di Pasaran ACE, dan satu di Pasaran LEAP dengan jumlah permodalan pasaran IPO bernilai RM7.31 bilion, menjadikannya yang kedua tertinggi dalam kalangan bursa-bursa di Asean.
Pencapaian ini menunjukkan daya tarikan Bursa Malaysia yang tinggi kepada perniagaan yang mencari modal untuk pengembangan dan mencerminkan minat pelabur yang semakin meningkat terhadap peluang baharu melalui bursa tersebut, kata Abdul Wahid. - BERNAMA