Sebuah rumah teres di Balik Pulau, Pulau Pinang yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah diserbu polis.

Kegiatan itu berjaya dibongkar selepas pihak polis menahan seorang wanita warganegara Indonesia pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis daerah barat daya, DSP Lai Fah Hin berkata, wanita berkenaan yang dipercayai melakukan kegiatan jenayah tersebut bersama-sama teman lelakinya yang juga warga tempatan sejak minggu lalu.

Kedua-duanya menjalankan kegiatan memproses dadah sejak tiga minggu lalu di rumah yang disewa di Taman Kristal Pondok Upeh.

Ketika serbuan, kekasihnya tidak berada di rumah bagaimanapun pihak polis telah mengenal pasti identitinya dan dijangka diberkas tidak lama lagi.

“Pada 3 Julai jam 6.30 petang, sepasukan anggota dari Jabatan Narkotik barat daya telah membuat tangkapan seorang wanita warganegara Indonesia yang berusia 21 tahun di Taman Kristal Pondok Upeh, Balik Pulau. Dalam tangkapan ini, polis telah merampas 56 gram syabu, pil dan cecair dadah, bahan kimia yang telah dipamerkan di atas meja ini.

Untuk makluman kes telah disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh disabitkan hukuman mandatori gantung sampai mati. Untuk makluman, suspek telah direman sehingga 10 Julai untuk siasatan lanjut. Barang kes yang dirampas anggaran harga lebih RM251 ribu dan selain itu turut dirampas adalah kenderaan dan peralatan memproses dadah.” jelas DSP Lai Fah Hin, Timbalan Ketua Polis daerah barat daya.

Tambah Lai, suspek lelaki berusia 34 tahun itu memiliki dua rekod jenayah lampau serta pernah ditahan kerana mengedar dadah.

Beliau berkata pasangan tersebut memproses syabu dan ekstasi yang dipercayai untuk edaran di Pulau Pinang.

Wanita berumur 21 tahun itu kini direman sehingga Rabu depan.