KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang sebelum ini dinamakan Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) bersetuju melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pelantikan itu bagi membolehkan kesemua wakil berkenaan berkongsi pengalaman dan nasihat dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik COVID-19 secara sistematik dan selamat.

Menurut Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz, mesyuarat kedua yang berlangsung pada Jumaat turut memutuskan beberapa perkara bagi membolehkan Malaysia keluar dari krisis kesihatan ini secara teratur.

“Antaranya dengan menambah baik SOP (prosedur operasi standard) berdasarkan maklumbalas daripada antara lainnya, subject matter experts, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.

“Kedua dengan memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin.

“Ketiga iaitu mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang telah memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

BACA: PPN akan memimpin Malaysia keluar daripada pandemik - Tengku Zafrul 

BACA: Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Penyelaras PPN 

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga telah memutuskan bahawa PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai ini.

Dalam perkembangan sama, MPN juga, jelas Tengku Zafrul, akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan.

“Kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak COVID-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti/pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam,” ujar Tengku Zafrul lagi.