Dalam program yang berlangsung pada 12 hingga 15 Mac 2015 lalu, mahasiswa Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (Kolej 2) dari jurusan berbeza seperti perubatan, kejuruteraan, alam bina dan juga pendidikan telah memanfaatkan peluang yang lebih daripada sekadar mempelajari adat Minangkabau.
Diiringi seorang pegawai kolej, Aida Nurul Rahman, program bertema ‘Jelajah Sambil Beramal’ selama 4 hari tiga malam itu memupuk semangat pembangunan insaniah pelajar dalam memberi bimbingan berbentuk pendidikan dan bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan.
Majlis perasmian JADI telah berlangsung di Institut Seni Indonesia (ISI) Padang Panjang dan telah disambut oleh Himpunan Mahasiswa Jurusan Teater.
Di situ, rombongan dari UM telah diberi pendedahan tentang tradisi Randai yang amat popular di Padang Panjang.
Daripada permainan instrumen muzik hinggalah cara pemakaian dalam tradisi berkenaan, termasuk juga banyak lagi cabang budaya Minangkabau, semuanya telah diperkenalkan sekali gus membuka minda serta menambah pengetahuan peserta JADI.
JADI merupakan projek peringkat kebangsaan yang telah mendapat sokongan penuh oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM iaitu Prof Datuk Dr Rohana Yusof, dan juga Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah iaitu Dr Nahrizul Adib Kadri.
Antara pengisian menarik dalam program tersebut adalah sesi latihan bengkel, iaitu sebagai persiapan para pelajar UM untuk membuat persembahan Dabus yang popular di negeri Perak manakala pelajar dari ISI membuat persembahan Tapuak Galembong.
Aktiviti baktisiswa di Sekolah Dasar Negeri 07 yang dikendalikan para peserta program JADI dari Universiti Malaya. -Foto sumber Program JADI.
Selain itu, program pengembaraan JADI diteruskan ke Sekolah Dasar Negeri 07 untuk aktiviti baktisiswa berbentuk pendidikan.Seramai 20 murid sekolah berkenaan telah berpeluang menyertai kelas pendidikan Bahasa Inggeris dan aktiviti interaktif yang dikendalikan sendiri oleh mahasiswa UM.
Lawatan seterusnya adalah ke Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau (PDIKM). Di situ, para mahasiswa UM mendalami Adat Perpatih dan Adat Temenggung, selain mengenal seni bina rumah gadang.
Tidak ketinggalan, mahasiswa UM juga diberi peluang untuk menyarungkan pakaian rasmi perkahwinan orang Minangkabau.
Mahasiswa UM berpeluang mendekati budaya dan kesenian masyarakat Minangkabau dengan menyarungkan pakaian rasmi perkahwinan. -Foto sumber Program JADI.
Panggilan kemanusiaan dalam program JADI diteruskan pula dengan aktiviti menyampaikan bantuan makanan asas seperti beras, minyak masak, susu, gula dan biskut kepada golongan memerlukan di daerah Padang Panjang.
Dengan bantuan carian maklumat daripada mahasiswa ISI, peserta program JADI telah mengenal pasti lima buah keluarga miskin termasuk golongan ibu tunggal.
Difahamkan, sumber bantuan itu diperoleh daripada hasil jualan makanan di kolej UM, sumbangan individu, kempen derma serta sumbangan pakaian dari syarikat Kotak Hitam.
Ternyata daripada pengisian tersebut, rombongan mahasiswa UM yang terlibat dilihat telah melengkapkan jati diri mereka dengan penyuburan nilai-nilai murni.