Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 mencatat kutipan hasil RM52 juta, yang tertinggi sejak ianya diadakan pada 1999.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah hasil jualan itu jauh menjangkaui sasaran awal kementerian sebanyak RM20 juta.

"Pencapaian begitu besar dalam penganjuran kali MAHA kali ini dan terbaik pernah dilaksanakan. Jika dua tahun lalu (2012) pendapatan keseluruhan dalam jualan langsung sepanjang sebelas hari pameran ialah RM24 juta, jumlah itu meningkat kepada RM52 juta tahun 2014," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri Malam Apresiasi MAHA dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2014, di sini malam tadi.

Ismail Sabri berkata MAHA 2014 juga berjaya mencapai sasaran pengunjungnya seramai 3.5 juta termasuk peningkatan penglibatan golongan muda sebagai peniaga.

"Seramai 353 peniaga gerai tani terlibat, 159 orang daripada jumlah tersebut terdiri dari golongan muda," katanya.

Beliau berkata pencapaian di luar jangkaan itu dicapai melalui strategi awal kementerian yang menganjurkan "Road To MAHA" di setiap negeri dalam usaha mempromosikannya program tersebut.
Ismail Sabri juga yakin hasil jualan MAHA 2016 akan melebihi hasil jualan
pada 2014.

Beliau juga berkata tapak MAHA yang sebelum ini dikosongkan selepas MAHA berlangsung akan dibuka kepada orang ramai dengan mewujudkan beberapa laman khas seperti 'Laman Padi', 'Laman Herba' dan 'Laman Hortikultur'.