Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata pihaknya menjangkakan takungan air di Empangan Pedu, Empangan Ahning dan Empangan Muda akan kembali meningkat hujung tahun ini sekali gus menjamin bekalan air untuk aktiviti pertanian, domestik dan industri.
"Sekarang ini kawasan pertanian MADA sudah mula menuai dan pelepasan air dari empangan telah dihentikan. Hujan juga sudah mula dan air takungan bertambah, kita jangka menjelang hujung tahun ini takungan air di Empangan Pedu mencapai 72 peratus.
"Kadar ini sangat selesa untuk kita buat penanaman padi musim 2/2024 serta musim 1/2025 tahun depan. Jadi, dengan data dan angka yang kita ada serta ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kita rasa kita tidak ada isu dari segi bekalan air untuk tahun depan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jelajah Amanat Merdeka Peringkat Zon Utara yang disempurnakan Pengarah Program Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Pasar Tani Kekal Guar Chempedak di sini pada Jumaat.
Dr Ismail berkata pesawah juga diingatkan untuk mematuhi jadual tanaman dan pelepasan air bagi memastikan tidak berlaku pembaziran air.
"Kita bukan sahaja guna air dari empangan tetapi kita juga bergantung kepada hujan, kita guna semula air yang ada dan mengagihkan ke kawasan yang lebih tinggi selain salurkan air secara bergilir.
"Empangan Ahning turut membantu menyokong Empangan Pedu sekiranya paras takungan air di Empangan Pedu rendah, contohnya baru-baru ini kita lepaskan 400 juta liter padu air dari Empangan Ahning untuk menyokong air di Empangan Pedu," katanya.
Setakat hari ini, paras air di Empangan Pedu mencatatkan jumlah takungan sebanyak 34.72 peratus manakala Empangan Muda 14.12 peratus dan Empangan Ahning 78.82 peratus.
-- BERNAMA