KUCHING: Beberapa tafsiran dari sudut bidang kuasa seperti sempadan dan tanah yang berbeza di peringkat negeri Sabah, Sarawak serta Persekutuan perlu dimuktamadkan oleh Kabinet, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata isu berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya pada 28 Mei lepas.

"..salah satunya berhubung bidang kuasa perairan, iaitu our continental shelves, iaitu setakat mana sempadan kita. Tafsiran Sarawak ialah kita dah ada perundangan sendiri dan sempadan negeri sebelum penubuhan Malaysia.

"Ada perbezaan pandangan (sudut) perundangan di peringkat Federal dan tafsiran di peringkat negeri (Sabah dan Sarawak) jadi perkara itu perlu dibawa ke Kabinet untuk ditentukan apakah arah tujunya...ada perkara yang agree to disagree, maknanya 'dipersetujui' tapi tak dipersetujui secara muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perayaan Duan Wu (Dragon Boat Festival) di sini, hari ini.

Selain itu Fadillah berkata cukai duti stem yang dilihat bercanggah di peringkat Persekutuan dan kedua-dua negeri itu turut menjadi antara perkara yang masih belum dipersetujui dalam mensyuarat berkenaan.

"Tafsiran Sarawak ialah tanah adalah bidang kuasa negeri (tetapi) disebut dalam Perlembagaan, cukai duti stem ialah (kuasa) Persekutuan. Jadi itu satu lagi tafsiran yang berbeza - jadi kita kena selesaikan perkara itu," katanya.

Antara yang mewakili Sarawak bagi MTPMA63 yang lepas terdiri dari ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, manakala Sabah diwakili Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan.

-- BERNAMA