Kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd optimis dapat mengemukakan surat persetujuan, pelan perancangan dan pelan pembiayaan tapak pelupusan kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Pengurus Besar Pematuhan Keselamatan dan Pengawalan Radiasinya Prof Ismail Bahari berkata Lynas akan memenuhi semua aspek perundangan dan peraturan yang disyaratkan, seperti yang diamalkan sejak mereka mula beroperasi di negara ini.

"Kita mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan tapak untuk melaksanakan kajian terlebih dahulu kerana perkara ini perlu dilakukan secara berperingkat.

"Seterusnya baru surat persetujuan daripada mana-mana kerajaan negeri yang membenarkan tapak pembinaan PDF bersama dengan keperluan syarat lain dikemukakan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)," katanya di sini, pada Khamis.

Ismail berkata pihaknya juga optimis syarat yang ditetapkan pada pengumuman pelanjutan operasi Lynas pada 15 Ogos lalu, dapat dilaksanakan sebelum tempoh akhir lanjutan lesen itu yang dijadualkan pada 2 Mac depan.

AELB semasa mengumumkan pelanjutan lesen operasi Lynas yang tamat pada 2 Sept lalu, menetapkan beberapa syarat utama antaranya melibatkan pembinaan PDF di Malaysia atau surat kebenaran mana-mana negara untuk membawa keluar sisa WLP.

Selain itu, Lynas yang beroperasi di Gebeng di sini juga disyaratkan untuk mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan cracking and leaching di luar negara, yang difahamkan sudah dikenal pasti tapaknya di Australia.

Kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dari Kampung Beserah, Kampung Sungai Karang, Kampung Chengal Lempong dan Kampung Balok membeli-belah di sebuah pasaraya pada Program Jom Kembali Ke Sekolah Lynas di Kuantan, 5 Dis, 2019. --fotoBERNAMA

Ismail juga memberi jaminan Lynas akan telus pada proses pembinaan PDF itu, dan akan melibatkan penduduk setempat lokasi tersebut menerusi penerangan dan pendidikan supaya mereka mendapat fakta saintifik yang jelas mengenai perkara itu.

"Malah, jika penduduk kawasan itu mempunyai kebimbangan, kami mencadangkan mereka membuat permohonan untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pengurusan yang memberi peluang mereka mendapatkan fakta dan memberi saranan atau cadangan.

"Ini adalah amalan biasa yang banyak berlaku di banyak negara kerana sudah pasti penduduk kawasan yang mana terlibat lebih mengetahui mengenai lokasi itu dan akan terlibat secara langsung dengan perkara ini," katanya.

Lynas juga pada Khamis, meneruskan tradisi tahunannya membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi pemberian keperluan sekolah dan untuk tahun ini, seramai 150 pelajar masing-masing menerima bantuan barangan bernilai RM200.

Mereka terdiri daripada pelajar sekitar Beserah, Sungai Karang, Chegal Lempong dan Balok dibawa membeli-belah keperluan sekolah di sebuah gedung pakaian terkemuka di sini.

-- BERNAMA