Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.52 malam.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang digerakkan ke lokasi yang jaraknya 27 kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan tiga unit kedai dua tingkat kelas B, berkeluasan 20 x 60 kaki setiap unit, musnah terbakar 90 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan dua unit kedai dua tingkat yang bersambung dengan rumah dibahagian belakang, kelas B berkeluasan 20 x 120 kaki setiap unit yang musnah 80 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Menurutnya, anggota bomba membuat pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki dengan empat pancutan dari sumber air terbuka sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang, PBS Teluk Intan dan PBS Bagan Datuk.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Faris Zahir tamat pada jam 4.02 pagi.