Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta mengkaji semula sistem pembayaran cukai pendapatan di kalangan pengamal perubatan bagi mengelakkan kekeliruan berhubung kaedah pembayaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, LHDN dan Persatuan Perubatan Malaysia perlu mencari dan berbincang mengenai kaedah terbaik menangani isu tersebut kerana sistem pembayaran baharu ketika ini menimbulkan kekeliruan.

Menurut beliau isu 3,000 doktor pakar bedah dikesan melakukan pengelakan cukai melampau yang sepatutnya dibayar tersebut timbul setelah LHDN melakukan perubahan dalam sistem pembayaran mereka.

“LHDN kena ambil tindakan kepada semua orang. Tidak kira mereka doktor atau tidak doktor, maka undang-undang itu sama. Tetapi dulu ada satu isu yang kita pun dah minta LHDN fikirkan untuk mendapat penyelesaian iaitu macam mana mereka menyediakan akaun mereka, dengan cara macam mana mereka boleh berfungsi, banyak daripada mereka berfungsi sebagai syarikat.

“Ada perkara-perkara yang mereka mengambil kira boleh ‘tax deductable’, kadang-kadang mereka ada ‘director’, pengarah syarikat, yang mendapat ganjaran ‘director’ di dalam syarikat-syarikat mereka, ini adalah satu perkara yang menjadi amalan untuk satu jangka masa. Contohnya bekerja di dalam hospital swasta tetapi fungsi mereka ialah sebagai satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan, maka semasa mereka buat benda ini, mereka berfungsi sebagai syarikat,” katanya ketika mengulas pendedahan LHDN baru-baru ini terdapat lebih 3,000 doktor pakar dikesan melakukan pengelakan cukai melampau yang sepatutnya dibayar.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kem Nak Sihat di Perkampungan Orang Asli Leryar, Pos Menson, di sini hari ini.