CYBERJAYA: Kerajaan sentiasa berhati-hati dalam setiap keputusan berkaitan cadangan pembaharuan sistem percukaian negara supaya kesan pelaksanaannya tidak membebankan rakyat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk mengimbangi kesan pelaksanaan dengan menyediakan jaringan sosial untuk rakyat.

"Peningkatan pendapatan negara melalui reformasi percukaian, penyasaran subsidi dan peningkatan pelaburan, dapat mencapai matlamat pengembangan sumber hasil negara dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion untuk sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah manakala Sumbangan Asas Rahmah pula menyalurkan RM700 juta kepada 700,000 penerima," katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Iftar HasiL Program Mahabbah Ramadan 2024 semalam.

Program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDN Datuk Johan Mahmood Merican.

Program tersebut turut meraikan tetamu istimewa iaitu anak-anak yatim dan asnaf dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Amir Hamzah berkata kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan setiap golongan masyarakat dan berusaha untuk melengkapkan kemudahan asas seperti jalan raya, sekolah, perumahan, bekalan elektrik dan air yang konsisten, peluang pekerjaan dan jaringan sosial yang baik.

Beliau turut menekankan bahawa dalam kerangka ekonomi yang mampan, tiada golongan yang tercicir dan kerajaan sentiasa memberikan bantuan dan sokongan secara holistik kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

"Pendapatan negara seperti hasil cukai yang dikutip melalui LHDN, akan dibelanjakan semula oleh kerajaan dalam pelbagai bentuk manfaat, kemudahan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan demi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.

"Kerangka Ekonomi MADANI turut menekankan aspek tatakelola yang baik kerana melaluinya kerajaan dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Amir Hamzah turut menyeru warga HASiL untuk melaksanakan tugas dengan cekap dan profesional serta amanah dan integriti yang tinggi supaya kesannya dirasai di peringkat organisasi dan seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA