GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menghantar surat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cadangan mengembalikan 20 peratus hasil kutipan cukai kepada negeri selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bulan depan.


Ringkasan AI
  • Pulau Pinang akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai cadangan mengembalikan 20 peratus hasil kutipan cukai kepada negeri selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bulan depan.
  • Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyuarakan cadangan tersebut kepada Anwar secara tidak rasmi, dan meskipun Anwar memberi respon positif, keputusan rasmi masih belum ditentukan. Cadangan ini akan dibincangkan semula dalam pertemuan dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri lain bulan Julai nanti.
  • Chow berharap kerajaan pusat akan bersikap terbuka terhadap cadangan ini kerana banyak projek penting di Pulau Pinang memerlukan dana. Cadangan ini diajukan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 29 Mei lalu untuk memberi ruang lebih kepada negeri untuk pelaksanaan program pembangunan.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagaimanapun cadangan tersebut telah pun disuarakan kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan secara tidak rasmi dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Dalam pertemuan sebelum ini, Perdana Menteri kata 'Bagus' (permintaan mengembalikan semula 20 peratus hasil cukai kepada Pulau Pinang) tetapi ia tidak bermakna akan diluluskan, jadi sebab itu saya akan berbincang mengenai permintaan ini dengan Ketua Menteri dan Menteri Besar lain Julai nanti.

"Dua puluh peratus itu hanya lontaran cadangan saya. Itu tertakluk kepada keinginan (Pusat) untuk melaksanakan perkongsian hasil ini. Jika ada persetujuan, kita boleh bincangkan dengan lebih lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Maybank 2024 Invest ASEAN 'Penang: Malaysia's High-Tech Powerhouse' di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini hari ini.

Beliau berharap kerajaan pusat dapat bersikap terbuka mengenai cadangan perkongsian hasil itu memandangkan banyak projek dan inisiatif penting yang dirancang memerlukan dana untuk dilaksanakan.

Pada 29 Mei lepas, Chow pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) memohon kerajaan Persekutuan agar mengkaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri dengan mengembalikan 20 peratus daripada wang cukai yang dikutip daripada negeri supaya mewujudkan ruang untuk pelaksanaan program dan projek pembangunan dengan lebih berkesan.



-- BERNAMA