Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Temerloh, Pahang, semalam, berikutan laporan polis yang dibuat di Jelapang, Perak.

"Suspek direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan... kertas siasatan bagi kes itu akan dibawa ke pejabat pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, pada Rabu.

Pada 15 Okt lepas, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterima veteran DAP itu di laman sosial berbunyi 'Lim Kit Siang ini sudah wajib dibunuh'.

Sementara itu, polis akan mengambil keterangan Ketua Eksekutif Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Zainal Kling, Jumaat ini berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati di Shah Alam, 6 Okt lalu.

Huzir berkata Zainal dipanggil ke Bukit Aman berikutan laporan polis yang dibuat oleh pegawai khas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, baru-baru ini.

"Polis telah merakam percakapan pengadu berhubung perkara itu dan beliau (Zainal) sudah dihubungi untuk hadir beri keterangan Jumaat ini," katanya.

Pada kongres itu, Zainal dilapor membuka tirai dengan beberapa kenyataan keras yang menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Huzir berkata polis juga akan memanggil penganjur kongres berkenaan untuk memberi keterangan selain menjalankan semakan terperinci.

Dalam perkembangan lain, dua pengendali akaun Facebook bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat berhubung satu hantaran berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

-- BERNAMA