LIMA minggu lalu, seluruh negara bertumpu ke atas Kuala Kubu Baharu yang meraikan pilihan raya kecil (PRK), iaitu membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang telah dipertahankan oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi wakilnya, DAP.

Di sebalik persaingan yang sengit, PH mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,869, kurang sedikit berbanding paras yang direkodkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Malah, PRK kerusi No 6 itu, yang terletak dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor, telah melalui gelombang persaingan sengit luar dugaan.

Sehingga menjelang hari pengundian, tidak ada pihak yang dapat meramalkan majoriti yang boleh diperoleh oleh calon PH meskipun sejak awal lagi telah dijangkakan bahawa gabungan yang menerajui kerajaan persekutuan itu mampu untuk kekal di Kuala Kubu Baharu.

Sejak dibentuk empat dekad lalu, kerusi Kuala Kubu Baharu menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Ia jatuh ke tangan DAP-Pakatan Rakyat (PR) semasa Pilihan Raya Umum 2013. Dan, jumlah majoriti meningkat sedikit demi sedikit sehingga kedudukannya kelihatan selesa, melebihi 4,000 undi semasa PRN 2023.

Semasa PRN salah sebuah gabungan kerajaan perpaduan, BN yang pernah berdiri kukuh di Kuala Kubu Baharu, tidak bertanding atas semangat jalinan kerjasama politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November 2022.

Selepas 43 hari, satu lagi PRK diadakan.

Kali ini melibatkan satu bahagian di utara Semenanjung - kerusi DUN Sungai Bakap, yang terletak dalam bahagian Parlimen Nibong Tebal di Pulau Pinang.

Sungai Bakap terletak kira-kira 30 kilometer dari Butterworth dan lima kilometer dari bandar Nibong Tebal. Ia terletak di antara Val d'Or di utara, Jawi di selatan.

Rombongan pemimpin parti-parti politik, penyokong dan pekerja jentera pilihan raya sudah mula melangkah ke Sungai Bakap dan berhimpun di kawasan itu sejak sebelum SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting PRK dua minggu lalu.

Tinjauan awal di Sungai Bakap beberapa hari lalu menunjukkan bahawa Sungkai Bakap sudah mula menerima kehadiran wajah dari luar kawasan, sehingga menghidupkan Sungai Bakap dengan mobiliti manusia sepanjang hari setiap hari.

Bagi penduduk setempat, Sungai Bakap lazimnya akan sunyi selepas lewat petang. Pergerakan manusia sangat kurang. Begitu juga kenderaan. Kecuali di pekan Sungai Bakap.

Kehidupan yang sederhana dengan dikelilingi banyak kawasan perkampungan sementara kerusi DUN jirannya, Jawi, satu lagi kerusi DUN dalam bahagian Nibong Tebal, lebih meriah dan kelihatan ‘hidup’ di sebalik kewujudan kawasan perindustrian.

Kerusi Sungai Bakap dipertandingkan sejak PRU pertama yang diadakan pada tahun 1959.

Kerusi itu yang pada awalnya dieja sebagai Sungei Bakap, sehingga tahun 1974, kekal sebagai kubu kuat BN sehingga tahun 2008 sebelum dirampas oleh PR dalam PRU pada tahun tersebut dan kekal disandang wakil PKR sebelum beralih kepada PAS pada Ogos lalu.

Pada hari ini, kedua-dua PH dan PN masing-masing mahu menjadikan Sungai Bakap berada di kuasa tangan mereka.

PH terutama wakilnya, PKR mahu merampas kembali kerusi itu manakala PAS, yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pula mahu mempertahankannya.

Hari ini merupakan hari penamaan calon. SPR menetapkan 6 Julai sebagai hari pengundian. Pengundian awal akan diadakan 2 Julai.

Seramai 552 petugas SPR terlibat selain dibantu 794 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjaga keselamatan serta kelancaran sepanjang PRK kali ini.

Sungai Bakap, dengan kawasannya seluas 84 kilometer persegi, kecil berbanding Kuala Kubu Baharu (1,756 kilometer persegi, bandar yang mempunyai sejarah tersendiri. 

Penempatan hampir 1,000 anggota polis menunjukkan PRK Sungai Bakap juga bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua gabungan utama, PH dan PN.

PH merupakan gabungan utama dalam kerajaan pusat manakala PN dilihat sebagai pembangkang.

Bagaimanapun PN merupakan kerajaan yang memerintah Kedah, negeri jiran Pulau Pinang yang diterajui oleh PH. Kedah juga menyempadani Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, dari PKR, dipilih sebagai calon PH.

PN menamakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail. Kedua-dua mereka merupakan anak jati Sungai Bakap.

Semasa PRN lalu, Zamri, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, telah menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

Sungai Bakap terdiri daripada 59.4 peratus pengundi Melayu, Cina (22.5 peratus), India (17.4 peratus) dan lain-lain 0.7 peratus. Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih - 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Komposisi pengundi itu tidak jauh berbeza. Kedua-dua Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap mempamerkan kesamaan daripada sudut itu.

Oleh itu, pengundi Melayu dan India dilihat mempunyai sumbangan signifikan dan penting dalam menentukan kemenangan calon dan parti yang bertanding dalam dua minggu lagi.

Sungai Bakap membawa kita kepada gelanggang saingan Kuala Kubu Baharu.

Di sebalik tekanan, ketegangan dan sentimen politik yang kuat, Kuala Kubu Baharu dimenangi oleh PH.

Pada awalnya pengundi kaum India, yang sebahagian besar menzahirkan rasa tidak puas hati dengan parti memerintah sejak berita mengenai PRK akan diadakan, dilaporkan akan menjadi penentu atau ‘king maker’. Sebab itu persaingan sengit telah dijangkakan dan ia berlaku di Kuala Kubu Baharu.

Pun begitu UMNO mengambil alih kedudukan itu dengan menyumbangkan undi penentu bagi membolehkan calon PH mencecah majoriti hampir 4,000.

Pada awalnya PH hanya akan menang antara 500 hingga 1,000 undi.

UMNO diramalkan akan memainkan peranan penentu kemenangan di Sungai Bakap. PRK Sungai Bakap pastinya akan menjadi pentas menguji sokongan kaum Melayu kepada Pas dan PH.

Di Kuala Kubu Baharu pengundi Melayu sudah mula kembali kepada UMNO, dan menyumbangkan undi kepada PH.

Sehubungan dengan itu, UMNO memberi jaminan akan menggerakkan sepenuhnya jentera parti untuk membantu calon kerajaan perpaduan menawan Sungai Bakap.

Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Majlis Kerja Tertinggi telah menamakan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi mengukuhkan strategi mereka.

Beberapa parti lain yang diramalkan akan mencuba nasib di Sungai Bakap memutuskan untuk tidak mahu bertanding.

Pun begitu dilaporkan akan turut turun ‘berkempen’ dalam menentukan pendirian pengundi, sebagaimana kita lihat di Kuala Kubu Baharu.

Oleh itu, persaingan adalah di antara PH dan PN. Kemungkinan akan ada satu dua calon Bebas yang akan akan turun bertanding seperti di Kuala Kubu Baharu.

Atas kertas, sehingga kini, mood kemenangan diramalkan memberi kelebihan kepada PH.

Bagaimanapun PN pasti akan menggunakan kelebihan sentimen atau gelombang hijau November 2022 dan Ogos 2023 untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di Sungai Bakap dan di lain-lain bahagian di Semenanjung.

Pemerhatian awal juga menunjukkan isu-isu nasional tetap akan mendapat tempat dalam PRK kali ini. Gelombang isu Kuala Kubu Baharu akan berterusan di utara pada kali ini.

Pendek kata, bahang kempen di Sungai Bakap tidak jauh berbeza daripada apa yang dilalui di Kuala Kubu Baharu. Dari Kuala Kubu Baharu ke Sungai Bakap.
Selamat bertanding!


SEJARAH KEMENANGAN DI KERUSI DUN SUNGAI BAKAP

• PRU Pertama (1959-1964) : Kee Yong Chin (Perikatan-MCA)

• PRU Kedua (1964-1969) : (Perikatan-MCA)

• PRU Ketiga (1969-1974) : Veerappen Veerathan (Gerakan)

• PRU Keempat (1974-1978) : S. P. Chelliah (BN-Gerakan)

• PRU Kelima (1978-1982) : Teoh Kooi Sneah (BN-Gerakan)

• PRU Keenam (1982-1986) : Teoh Kooi Sneah (BN-Gerakan)

• PRU Ketujuh (1986-1990) : Lim Boon Sho (BN-Gerakan)

• PRU Kelapan (1990-1995) : Goh Cheng Teik (BN-Gerakan)

• PRU Kesembilan (1995-1997) : Ooi Theng Bok (BN-Gerakan)

• PRK (8 November 1997-1999) : Lai Chew Hock (BN-Gerakan)

• PRU Ke-10 (1999-2004) : Lai Chew Hock (BN-Gerakan)

• PRU ke-11 (2004-2008) : Abdul Rashid Abdullah (BN-UMNO)

• PRU Ke-12 (2008-2013) : Maktar Shapee (PR-PKR)

• PRU ke-13 (2013-2018) : Maktar Shapee (PR-PKR)

• PRU Ke-14 (2018–2023) : Amar Pritpal Abdullah (PH-PKR)

• PRN Ke-15 (2023-2024) : Nor Zamri Latiff (PN-PAS)

• PRK 6 Julai 2024 : ?



* Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.