Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot nelayan di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kompleks Kemajuan Ikan (LKIM), pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa Rhazi Razak, 32, dari Kampung Seberang Pintasan, di sini dipercayai tergelincir ketika cuba mengambil barang daripada bot terbabit.

Seorang nelayan yang berada di tempat kejadian menyedari insiden tersebut lalu segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Saifuddin Muhammad ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.07 malam daripada orang awam sebelum mengerahkan lapan anggota ke tempat kejadian.

"Bagaimanapun, ketika sampai di sana mangsa sudah tidak kelihatan dan dipercayai tenggelam ke dasar sungai. Anggota kami seterusnya menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian dan mendapatkan bantuan," katanya.

Gerakan mencari dan menyelamat mangsa disertai 20 anggota termasuk daripada pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan hingga tengah malam tadi, usaha menyelamat masih belum berjaya menemui mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat bersambung pagi ini.

-- BERNAMA