PAPAR: Seorang lelaki berjaya menangkap buaya seberat 150 kilogram ketika memancing di sebuah tasik berhampiran tapak pembinaan Taman Resident Prima Kinarut, di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, buaya terbabit ditemui dalam keadaan terdampar di parit selepas dipercayai keluar dari tasik.

Menurut Matthew Koh, 56, dia datang ke lokasi untuk meninjau tapak pembinaan tempatnya bekerja selain berhasrat untuk memancing di tasik yang terletak tidak jauh dari tapak pembinaan.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi bising dari arah pagar selain terdengar bunyi salakan anjing. Rupa-rupanya buaya itu merempuh pagar di kawasan berkenaan.

"Seorang kanak-kanak kemudian datang memaklumkan kepada saya bahawa ada seekor buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.


Buaya seberat 150 kilogram yang ditangkap dekat sebuah tasik di Taman Resident Prima Kinarut, Papar.
Katanya lagi, bimbang dengan keselamatan penduduk dan pekerja pembinaan di kawasan berkenaan, dia nekad mahu menangkap reptilia itu menggunakan tali yang ada di dalam kenderaannya.

"Saya bertindak mengundurkan kenderaan menghala ke pagar berkenaan dan cuba meletakkan tali ke arah leher buaya terbabit.

"Pada mulanya buaya itu kelihatan agresif namun tersekat pada rumput menyebabkan ia sukar bergerak dan tidak lama kemudian saya berjaya menangkapnya," katanya.

Matthew berkata, dia kemudian bertindak menghubungi pasukan keselamatan melalui talian 999 untuk mendapatkan bantuan supaya haiwan itu dapat dipindahkan ke tempat lain.

Anggota APM mengangkat buaya yang ditangkap di Taman Resident Prima Kinarut, Papar sebelum diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar.

"Sebelum ini, saya memang menyedari ada buaya di kawasan tasik berkenaan dan dipercayai terdapat seekor lagi berada di dalamnya.

"Cuma kali ini buaya itu keluar sebelum akhirnya berjaya ditangkap," katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pengadu pada jam 8.15 pagi.

"Buaya sepanjang empat meter dengan berat 150 kilogram itu berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU)," katanya.

*Berita asal di Sinar Harian